Tak ramai berani mengaku seperti MB Johor

Iklan
Jimmy. - Foto TheStar

JOHOR BAHRU - Exco Kerajaan Johor, Jimmy Puah Wee Tse memuji tindakan Menteri Besar, Datuk Osman Sapian yang berani mengakui dirinya tidak menamatkan pengajian.

Menurutnya, lebih penting, Osman mempunyai keberanian untuk memohon maaf berhubung isu latar belakang pendidikannya itu.

Iklan
Iklan

"Saya memuji tindakan Datuk Osman Sapian bukan hanya untuk keberanian mengakui tidak menamatkan pengajian, tetapi lebih penting keberaniannya memohon maaf berhubung isu ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Saya mohon maaf: MB Johor

Iklan

"Salah satu sifat-sifat utama seorang pemimpin adalah keberanian untuk berdepan dengan kebenaran, mengakui kesalahan dan meminta maaf sekiranya perlu.

"Sejujurnya, berapa ramai yang melakukannya? Oleh itu, ini adalah sesuatu (sifat) yang paling terpuji,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Iklan

ADUN Bukit Batu itu berkata, beliau mempunyai keyakinan penuh terhadap kepimpinan Osman dan keupayaannya untuk menerajui negeri ini sebagai Menteri Besar.

"Janganlah tergesa-gesa dan mengutuk kekurangan kelayakan akademiknya. Sebaliknya saya merayu kepada rakyat Johor untuk menilai menteri besar dengan etika kerja dan tekadnya untuk menjadikan Johor sebuah negeri yang lebih makmur.

"Selepas bekerja dengannya selama 10 bulan lalu, saya boleh buktikan beban kerjanya yang berat dan jadualnya yang padat. Tetapi menteri besar sentiasa mencari masa untuk bertemu dengan seberapa ramai orang yang mungkin, dan bukan hanya pegawai kerajaan atau VVIP malah rakyat biasa sama ada di pejabat atau warung,” katanya.

Jimmy berkata, kerendahan hati Osman jarang didengari, dan sayangnya ia bukan sesuatu yang menteri besar suka banggakan atau diketahui media.

"Tetapi saya secara peribadi merasakan bahawa sifat ini menjadikan beliau seorang menteri besar.

"Oleh itu marilah kita semua memberikan peluang kepada menteri besar dan pasukannya untuk memenuhi mandat rakyat dan biarkan hasil membuktikan segalanya,” katanya.