KUCHING - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki maut akibat tertimbus dalam sebuah lubang ketika melombong emas secara haram bersama dua rakannya di Gunung Tabai di Bau.
Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Superintenden Poge Nyaon berkata, mayat Mat Tapa, 26, ditemui tertimbus di bawah runtuhan batu dan tanah oleh pasukan mencari dan menyelamat, namun mayat itu masih belum dapat dikeluarkan.
"Semasa operasi menyelamat dijalankan pada jam 11.20 pagi, anggota operasi ternampak tangan dipercayai tangan manusia di dalam satu lubang, tetapi mayat itu tidak dapat dikeluarkan kerana tertimbus batu dan tanah,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata, dua rakan Mat Tapa yang turut terperangkap dalam kejadian pagi Rabu berjaya diselamatkan.
Pagi Rabu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Khirudin Drahman dilaporkan berkata, berdasarkan maklumat awal yang diterima pada jam 9.10 pagi, tiga lelaki dikatakan terperangkap di kawasan itu dan dua daripadanya telah diselamatkan.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba Bau, Tawing Lingem dalam satu kenyataan berkata, kerja-kerja membawa mayat keluar dari kawasan itu akan disambung pada jam 8 pagi esok.
Katanya, posisi dan kedudukan mangsa yang tertimbus itu berada di lokasi berbahaya, disebabkan struktur galian yang tidak stabil sekali gus membahayakan anggota penyelamat. - Bernama