Lawatan Dr Balakrishnan rintis jalan rentas sempadan

Iklan
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (dua, kanan) beramah mesra dengan Menteri Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan di pejabatnya pada Selasa. -Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Lawatan dua hari Menteri Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan ke Malaysia merintis jalan kepada pembukaan semula perjalanan rentas sempadan Malaysia-Singapura yang dinanti-nantikan selama ini.

Pertemuan antara Dr Balakrishnan dan rakan sejawatannya Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, dan pemimpin lain di Putrajaya yang terbabit dengan usaha memerangi wabak Covid-19, membantu kedua-dua pihak saling memahami mengenai perjalanan rentas sempadan.

Iklan
Iklan

Mesyuarat secara bersemuka antara kedua menteri luar negeri itu juga membuahkan hasil positif lain terutama mengenai Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Pengaturan Ulang Alik Berkala (PCA) yang bakal dipulihkan secara berperingkat.

RGL membolehkan perjalanan rentas sempadan bagi urusan rasmi dan perniagaan penting antara kedua-dua negara, manakala PCA membolehkan rakyat Singapura dan Malaysia, yang memegang pas imigresen jangka panjang untuk tujuan perniagaan dan bekerja, memasuki negara itu.

Iklan

Perkara itu memberi kelegaan kepada rakyat Malaysia di Singapura dan rakyat Singapura di Malaysia, dan ribuan yang berulang-alik setiap hari di Tambak yang terganggu akibat sekatan perjalanan untuk mengekang penularan wabak Covid-19. Sekatan perjalanan turut memberi kesan kepada ekonomi kedua-dua negara.

Ketika Malaysia dan Singapura rancak melancarkan program vaksinasi kebangsaan masing-masing, turut diumumkan bahawa kedua-dua negara sepakat memulakan proses saling mengiktiraf Sijil Vaksinasi, satu pemudah cara untuk pengurusan perjalanan rentas sempadan pada masa depan.

Iklan

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin selepas bertemu Dr Balakrishnan berkata, sijil vaksinasi digital Malaysia dan Singapura dilindungi teknologi keselamatan blok rantai (blockchain) selain dilengkapi ciri mengesan kelompok botol vaksin yang tepat untuk kegunaan inokulasi.

Teknologi itu juga bagi memastikan sijil digital berkenaan tidak dapat digugat mana-mana pihak.

"Saling boleh kendali antara sistem pensijilan digital yang digunakan kedua-dua negara sangat penting terutama bagi memastikan piawaian ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) dan negara-negara lain," katanya.

Khairy berkata Malaysia dan Singapura juga komited untuk meneruskan kerjasama erat bagi tujuan pemulihan pasca-pandemik.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berharap hubungan Malaysia-Singapura terus diperkukuh dan berbincang mengenai mekanisme memulihkan perjalanan rentas sempadan bagi pelancong perniagaan antara kedua-dua pihak.

Semasa sidang media selepas mesyuarat dua hala pada Selasa, Hishammuddin dan Dr Balakrishnan turut menyentuh mengenai ASEAN termasuk perkembangan semasa di Myanmar.

Kedua-dua pemimpin itu berharap semua pihak di Myanmar tidak bertindak terburu-buru dan mencari penyelesaian aman berhubung ketegangan yang melanda negara itu sejak rampasan kuasa tentera.

Singapura dan Malaysia menggesa semua pihak berkepentingan di Myanmar berunding dan berdialog untuk merungkai segala kekusutan.

Ini adalah kali kedua Dr Balakrishnan dan Hishammuddin bertemu secara langsung sejak wabak Covid-19 mula melanda awal tahun lalu.

Kali pertama pada Julai, 2020, di Tambak Johor bagi menandatangani perjanjian membuka semula sempadan Malaysia-Singapura pada Ogos berikutan penutupan sempadan untuk membendung wabak itu.

Dr Balakrishnan yang dalam rangka lawatan kerja dua hari ke Malaysia turut bertemu Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Bernama