IPOH - Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan mengadakan pertemuan dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) bagi membincangkan isu bantahan penduduk terhadap pembinaan Empangan Hidroelektrik Nenggiri, Gua Musang, Kelantan.
Pengerusinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pertemuan dan mesyuarat bersama Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) mengenai isu tersebut pernah diadakan sebelum ini.
Menurutnya, pembinaan empangan tersebut telah dirancang sejak lapan tahun lalu dengan mengambil kira pelbagai faktor dan kepentingan penduduk sehingga kelulusan diberikan pada tahun 2021.
"Sudah tentu pelbagai komponen diambil kira melibatkan penduduk masyarakat orang asli di sana, jadi perancangan terperinci mengenainya sudah ada. Biarlah pengurusan TNB berunding dengan pihak berkaitan.
"Kita sudah bermesyuarat dengan Jakoa dan makluman berapa banyak penduduk terlibat, keluasan tanah," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Program CSR Tenaga Nasional Berhad (TNB) Ceria Ke Sekolah Peringkat Negeri Perak di sebuah hotel di sini pada Rabu.
ARTIKEL BERKAITAN: Orang Asli Gua Musang bantah pembinaan Empangan Nenggiri
Pada 22 Mac lalu, lebih 3,000 orang asli dari 17 wilayah dan ratusan kampung di Kelantan sebulat suara membantah pembinaan Empangan Hidroelektrik Nenggiri di Gua Musang kerana dipercayai bakal memusnahkan 5,384 hektar kawasan hutan yang melibatkan tanah adat dan wilayah orang asli di kawasan itu.
Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK), Mustafa Along dalam satu kenyataan berkata, pembinaan empangan hidroelektrik Nenggiri tersebut dikatakan untuk menyelesaikan masalah banjir, kemarau dan membekalkan bekalan tenaga elektrik.