Zii Jia nombor lapan terbaik dunia

Iklan
Zii Jia kini berada pada kedudukan lapan terbaik dunia selepas cemerlang pada saingan Seluruh England.

KEDUDUKAN pemain perseorangan badminton negara Lee Zii Jia meningkat dua anak tangga ke tangga kelapan dalam ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas ranking dunia dalam sukan itu dikemas kini pada tengah malam Selasa.

Selepas memperoleh 12,000 mata dalam Kejohanan Seluruh England, pemain berusia 22 tahun itu mengumpul 69,389 mata daripada 25 pertandingan disertainya untuk ranking terbaik dalam kerjayanya selepas termasuk dalam kedudukan 10 teratas Mac tahun lepas, menurut laman sesawang rasmi BWF, https://bwfbadminton.com.

Iklan
Iklan

Kemenangan di Arena Utilita, Birmingham pada Ahad lepas membantu anak Kedah itu memintas Angus Ng Ka Long dari Hong Kong (69,270 mata) dan Wang Tzu-wei dari Taiwan (63,393 mata).

Zii Jia memenangi Kejohanan Seluruh England selepas menumpaskan Viktor Axelsen dari Denmark, 30-29, 20-22, 21-9.

Iklan

Bintang Jepun Kento Momota kekal nombor satu dunia dengan 109,118 mata daripada 15 kejohanan, termasuk 6,600 mata daripada pertandingan berprestij All England walaupun tewas 16-21 dan 19-21 di tangan Zii Jia dalam perlawanan suku akhir.

Jaguh Denmark Axelsen (98,486) dan Anders Antonsen (94,875) juga kekal dalam kelompok tiga teratas.

Iklan

Juara beregu wanita dalam Terbuka Switzerland Pearly Tan - M Thinaah juga menokok tiga anak tangga, selepas memperoleh 6,000 mata setelah mara ke suku akhir Seluruh England untuk berada ditangga ke-19 dunia dengan 47,015 mata.

Dalam kategori perseorangan wanita, Soniia Cheah (38,931 mata) menurun satu anak tangga ke tangga 33 sementara S Kisona (25,184 mata) naik dua anak tangga untuk berada di ranking ke-60.

Beregu campuran Tan Kian Meng-Lai Pei Jing juga menokok satu anak tangga ke kedudukan ke-11 dunia dengan 62,770 mata.