NIBONG TEBAL - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang merampas 1.7 tan tong gas petroleum cecair (LPG) di sebuah stor di Jalan Kampung Telok di sini pada jam 5 pagi Rabu.
Pengarahnya, Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki warga tempatan yang sedang memindahkan 20 tong gas LPG bersubsidi kepada 20 tong gas LPG industri ketika serbuan dilakukan.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut turut menemui 17 tong gas LPG bersubsidi yang masih berisi dan 16 tong yang telah kosong di premis berkenaan.
"Pemeriksaan turut menemui 24 unit hose paip dan sebuah lori yang digunakan untuk mengangkat gas LPG.
"Sindiket yang dipercayai beroperasi selama lebih setahun itu menjual tong gas LPG industri pada harga RM130 setong berbanding harga pasaran RM180.
"Lelaki berusia 29 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan dan dia mungkin akan didakwa di mahkamah esok,” katanya pada sidang akhbar di Kampung Telok di sini pada Rabu.
Sementara itu, dalam operasi berasingan, KPDNHEP merampas 1.3 tan minyak masak di sebuah lot berpagar di Mukim 14 di sini pada Selasa.
"Sindiket tersebut dipercayai menyeleweng subsidi minyak dengan memindahkan minyak masak sekilogram (kg) dan dikumpul semula sebagai minyak masak industri pada harga yang jauh lebih tinggi.
"Kami menemui 47 kotak minyak masak bersubsidi paket 1 kg di atas sebuah lori, tujuh kotak minyak masak di dalam bangsal dan sebuah lori kanvas dengan dua tangki plastik yang berisi minyak masak," katanya.
Mohd Ridzuan berkata, dalam operasi itu, pihaknya turut menahan dua lelaki warga tempatan bagi membantu siasatan.
"Pemeriksaan lanjut mendapati lot tanah itu didaftarkan atas satu syarikat perniagaan yang tidak memiliki apa-apa lesen atau kebenaran untuk menyimpan, memproses atau menjual minyak masak.
"Rampasan kedua-dua sindiket berkenaan dianggarkan bernilai RM47,700 dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.