SHAH ALAM - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah menyiapkan laporan penuh kajian semula pelaksanaan Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) untuk dibentangkan kepada Kabinet.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, jika diluluskan Kabinet, program itu boleh dibuka semula.
Beliau berkata, kajian semula syarat-syarat mengenai program itu siap dijalankan oleh sebuah syarikat konsultan pada 28 Februari lalu sebelum dibentangkan kepada kementeriannya pada minggu lepas.
Menurutnya, program MM2H sebelum ini ditutup sementara iaitu sejak September tahun lalu agar kerajaan dapat mengkaji semula syarat-syarat program supaya keutamaan dapat diberikan kepada aspek-aspek keselamatan negara.
"Kena pastikan peserta adalah bersih dari sudut keselamatan. Bagi kita (laporan kajian) nampak okey. Insya-ALLAH kami akan bawa perkara ini pada Kabinet dan apabila telah diluluskan, kita boleh buka semula MM2H.
"Kita perlu berhati-hati dengan (pelaksanaan) Program MM2H ini. Sebab itu kami bekerjasama rapat dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) kerana agensinya iaitu Jabatan Imigresen Malaysia yang melihat (perkara ini) dari sudut keselamatan,” katanya kepada Sinar Harian.
Program MM2H yang dilancarkan pada tahun 2002 membolehkan warga asing membeli hartanah dan tinggal di Malaysia di bawah pas lawatan sosial kemasukan pelbagai.
Nancy berkata, selaku penyelaras Program MM2H, MOTAC berpegang kepada prinsip membantu negara melalui ekonomi menerusi penjanaan pendapatan daripada kemasukan warga asing.
Bagaimanapun, tegas beliau, keadaan itu perlu diseimbangkan dengan aspek keselamatan yang berada di bawah bidang kuasa KDN.
"Pada masa sama kita kena pastikan mereka yang menjadi peserta program ini adalah mereka yang boleh menyertainya dengan cara bersih dari segi isu keselamatan,” katanya.
Korea Utara minggu lalu memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia sebagai tindak balas terhadap tindakan negara ini mengekstradisi seorang rakyat mereka ke Amerika Syarikat (AS) awal bulan ini.
Pada 3 Mac lalu, rakyat Korea Utara yang dikenali sebagai Mun Chol Myong gagal dalam rayuannya di mahkamah Malaysia untuk mengelak diekstradisi ke AS atas dakwaan melakukan penggubahan wang haram.
Lelaki itu yang tinggal di Malaysia selama lebih sedekad bersama keluarganya ditahan pada 2019 susulan permohonan ekstradisi dari Washington.
Sebelum ini terdapat laporan yang mengaitkan rakyat Korea Utara yang dihantar ke Amerika Syarikat itu dengan program MM2H.
Ditanya lanjut sama ada MOTAC akan mengkaji semula permohonan kemasukan baharu bagi program MM2H ekoran dakwaan bahawa rakyat Korea Utara yang diekstradisi ke Amerika Syarikat merupakan seorang ejen dan didakwa menggunakan Program MM2H untuk masuk ke negara ini, Nancy sekali lagi menegaskan bahawa perkara itu berada di luar bidang kuasa kementeriannya.
"Sebenarnya perkara itu di bawah bidang kuasa Jabatan Imigresen Malaysia. Kami lebih menumpukan kepada ekonomi, Jabatan Imigresen Malaysia akan melihat kepada aspek keselamatan. Jadi apa pun syarat-syaratnya akan bergantung kepada bagaimana KDN melihatnya,” kata beliau.