MELAKA - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka dan Negeri Sembilan menahan sebuah kapal tangki yang gagal mengemukakan dokumen insurans di perairan negeri ini, di sini pada Rabu.
Pengarah Maritimnya, Kepten Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata, pihaknya mengesan kapal tangki itu dalam keadaan mencurigakan di kedudukan lebih kurang 1.9 batu nautika barat daya dari Tanjung Kling, kira-kira jam 4.20 petang.
Menurutnya, kapal tangki itu dikendalikan 24 kru warga China berusia antara 22 hingga 46 tahun yang memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
"Bertindak atas maklumat, bot ronda Maritim Malaysia telah mengesan kapal tangki itu yang sedang berlabuh di batas pelabuhan Melaka dan melakukan pemeriksaan.
"Pemeriksaan lanjut mendapati nakhoda kapal kapal tangki 'MT PENNY H' yang didaftarkan di Tanzania, gagal mengemukakan polisi insurans seperti dikehendaki 'Limitation of Liability of Maritime Claims' (LLMC) daripada Pengarah Jabatan Laut Malaysia," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.
Jelasnya, mereka disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (OPS) 1952 dan kapal berserta semua kru ditahan untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, Maritim Malaysia akan terus mempergiatkan lagi kerjasama yang baik di antara agensi kerajaan berkaitan dalam operasi penguatkuasaan bagi membanteras dan menyekat aktiviti jenayah di perairan Melaka dan Negeri Sembilan.
Orang ramai diminta agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah dan kecemasan di laut menerusi Pusat Operasi Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-3876730 dan MERS 999 yang beroperasi 24 jam.