BANTING - Masyarakat disaran memberi kerjasama dengan menjadi mata dan telinga polis dalam menyalur sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, kebelakangan ini kes terutama melibatkan jenayah jalanan dan pecah rumah merekodkan peningkatan.
"Masyarakat usah takut dan segan untuk memberikan kerjasama dengan pihak polis khususnya dari segi maklumat jenayah.
"Ikrar Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan sentiasa membantu masyarakat. Jadi, kami hargai apa juga bantuan dan penyaluran maklumat kepada pihak polis bukan sahaja untuk kekang Covid-19 tapi masalah jenayah," katanya kepada Sinar Harian selepas Sambutan Hari Polis Ke-214 Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di sini, pada Khamis.
Azizan berkata, polis mengingatkan mana-mana individu untuk tidak terlibat dengan perlakuan jenayah dan jangan menjadikan alasan terdesak akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Katanya, usah fikir singkat untuk melakukan jenayah sebagai ikhtiar meneruskan kehidupan.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan masyarakat untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam usaha mengekang wabak Covid-19.
"Kita (polis) dapati masyarakat seperti sudah mula lupa dengan pandemik ini biar pun ia belum berakhir. Pergerakan di jalan raya juga mencatat peningkatan.
"Untuk tempoh tahun ini setakat 25 Mac, ada 10 kes kemalangan maut dilaporkan di daerah Kuala Langat," katanya.