Pemandu lori didenda RM3,000 angkut babi tanpa kebenaran

Iklan
Tertuduh (dua,kiri) diiringi Pegawai Veterinar untuk menjelaskan denda yang dikenakan ke atasnya.

ALOR SETAR - Seorang pemandu lori didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Khamis, selepas mengaku bersalah memindahkan 42 ekor babi hidup tanpa kebenaran pada Februari lalu.

Majistret, Nurshahida Abdul Rahim turut memerintahkan tertuduh, K.Punithanathan,56, menjalani hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Iklan
Iklan

Mengikut kertas pertuduhan, Punithanathan didakwa telah memindahkan 42 ekor babi hidup menggunakan lori jenis Nissan tanpa kebenaran bertulis daripada Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kedah atau mana-mana pihak berkenaan veterinar yang diberi kuasa.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di premis No.57 Batu 7 1/4 Jalan Tokai, Simpang Empat di sini, kira-kira jam 7.20 pagi, pada 5 Februari lalu.

Iklan

Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Perintah (a) Kawasan Kawalan Pembasmian Penyakit Kuku dan Mulut negeri Kedah 2006 (Warta K.P.U.1) Subsekysen 36(1) Akta Binatang 1953 yang jika disabit kesalahan boleh dihukum di bawah Subsekysen 36(7) Akta Binatang 1953 (Pindaan 2013) Akta A 1452 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM15000.

Pertuduhan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Veterinar Negeri Kedah,Tuan Anuar Sulzi Tuan Abdullah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Iklan

Dalam hujahnya, Tuan Anuar memohon supaya tertuduh dijatuhkan hukuman berat dan setimpal agar kes tersebut menjadi pengajaran tidak hanya kepada tertuduh, malah kepada masyarakat untuk terus mematuhi undang-undang ditetapkan.

"Pihak jabatan memandang serius dan berusaha keras memastikan wabak penyakit tidak menular serta merebak dengan banyak wang telah dihabiskan bagi tujuan itu.

"Jika penyakit merebak dan tidak dapat dikawal, itu akan mendatangkan risiko kepada haiwan lain, manusia dan kesejahteraan awam.

"Penularan penyakit zoonotik ini juga boleh menyebabkan risiko kelumpuhan ekonomi negara yang bergantung kepada penternakan untuk pasaran eksport," katanya.

Sementara itu bersandarkan fakta kes, kesemua 42 ekor babi hidup yang dirampas telah menjalani pemeriksaan dilakukan pegawai veterinar.

Hasil pemeriksaan mendapati kesemua haiwan itu berada dalam keadaan sihat dan dilupuskan secara jualan kepada pemilik ternakan tersebut dengan nilai RM6,600.

Dalam penghakimannya, Majistret Nurshahida turut memerintahkan wang tersebut yang sebelum ini dimasukkan ke akaun deposit amanah jabatan berkenaan, dilucutkan hak kepada kerajaan melalui jabatan.