KOTA BHARU - Seorang anggota polis cedera dipercayai tertembak diri sendiri ketika sedang mengosongkan peluru dalam kejadian di Balai Polis Meranti, Pasir Mas pada Rabu.
Dalam kejadian sekitar jam 11.30 malam itu, anggota berpangkat konstabel itu cedera pada bahagian paha sebelah kiri.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, anggota berusia 29 tahun itu kini sedang menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).
"Alhamdulillah, anggota berkenaan dilaporkan berada dalam keadaan stabil," katanya kepada pemberita sempena Sambutan Hari Polis Ke-214 Peringkat Kelantan di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kelantan pada Khamis.
Hadir sama Timbalan Ketua Polis negeri, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammed Piah.
Pada majlis tersebut Polis Kelantan menyampaikan surat penghargaan, pemakaian pangkat dan anugerah integriti untuk anggota.
Menurutnya, difahamkan ketika kejadian anggota tersebut baru selesai bertugas dan mahu menyerahkan senjata api.
Beliau berkata, semasa hendak mengosongkan peluru, senjata api itu secara tiba-tiba telah meletup satu das.
Shafien berkata, siasatan lanjut dilakukan untuk mengenalpasti punca sebenar kejadian.