PUTRAJAYA – Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) akan menjalankan siasatan komprehensif berhubung insiden komponen besi kren terjatuh di tapak pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) di Puncak Bayan, Persiaran Alam Damai, Cheras pada Isnin.
JKKP dalam kenyataan pada Khamis berkata, siasatan yang dijalankan melibatkan pemerhatian dan penelitian di lokasi kejadian, mengambil keterangan saksi dan melakukan analisis kejuruteraan forensik bagi melengkapkan proses siasatan yang dijangka dapat dilengkapkan sepenuhnya dalam tempoh sebulan.
"Tindakan perundangan lanjut akan diambil berdasarkan kepada hasil siasatan terperinci.
"Antara tindakan boleh diambil termasuk pendakwaan menurut peruntukan seksyen 15 dan 17, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, iaitu kewajipan majikan untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerjanya semasa bekerja dan keselamatan dan kesihatan orang selain pekerjanya, yang terjejas akibat aktiviti kerja yang dijalankan," katanya.
Kenyataan itu berkata, penalti maksimum bagi kesalahan di bawah kedua-dua seksyen tersebut ialah denda tidak melebihi RM 50,000 atau dua tahun penjara, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Selain itu katanya, Notis Larangan dikeluarkan oleh JKKP hanya akan dibatalkan setelah majikan mengambil tindakan pembetulan dan langkah kawalan yang komprehensif bagi mengelakkan berlakunya kemalangan.
"Untuk makluman, pada tahun 2020 JKKP telah menjalankan 14,786 pemeriksaan keselamatan serta kesihatan pekerjaan (KKP) di sektor pembinaan, dan daripada jumlah tersebut sebanyak 5,117 notis, 404 tindakan kompaun dan 73 kes pendakwaan telah dilaksanakan dengan jumlah penalti sekitar RM1.7 juta.
"Ini bagi mengurangkan risiko keselamatan dan kesihatan ke atas pekerja dan mengelakkan berlakunya kemalangan atau penyakit pekerjaan," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Kren jatuh: KSM arah JKKP siasat punca insiden
Dalam pada itu, JKKP akan terus melakukan pemantauan di lapangan termasuk dengan menggunakan aplikasi teknologi terkini serta tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak termasuk pemaju dan kontraktor yang didapati mengabaikan aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
"Majikan sepatutnya bertanggungjawab untuk mengenalpasti terlebih dahulu bahaya di tempat kerja, membuat penilaian risiko dan seterusnya mengambil langkah kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja," katanya.
Pada Isnin, media melaporkan tiga maut dan seorang cedera selepas struktur kren gantri di tapak projek pembinaan SUKE, pakej CA3 terjatuh dan menghempap sebuah kereta kira-kira jam 8.30 pagi.