KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Anina Saadudin memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis, bahawa beliau sudah memadam 13 paparan berkaitan Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, di laman Facebook miliknya.
Ketika prosiding di hadapan Hakim Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril, Anina berkata, tidak mempunyai masalah untuk mematuhi injunksi sebagai mana yang dituntut.
"Selepas menerima tuntutan berkenaan melalui serahan tangan, saya menurunkan kesemua paparan, dalam masa 24 jam," katanya.
Ia turut disahkan oleh peguam, Ragunath Kesavan yang mewakili Ismail Sabri, yang menyatakan pihak pembelaan menghapuskan semua paparan tersebut sementara menunggu keputusan perbicaraan kelak.
Justeru, mahkamah menetapkan 21 Jun untuk pengurusan kes berikutnya manakala 1 Oktober depan untuk perbicaraan kes.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai peguam, Anina berkata, beliau tidak melantik mana-mana peguam dan akan menjalankan pembelaannya sendiri.
"Saya cuma suri rumah, jadi saya tidak mampu untuk membayar kos guaman, jadi saya akan wakili diri sendiri.
"Saya hadir di mahkamah kerana percaya, mahkamah akan bertindak adil dan sebagai tempat di mana saya dapat bercakap benar," katanya.
Beliau berkata, dokumen pembelaan sudah difailkan dan diserahkan kepada mahkamah pagi tadi.
ARTIKEL BERKAITAN: Ismail Sabri berjaya paksa Anina padam siaran fitnah
Pada 5 Mac lalu, Ismail Sabri selaku plaintif memfailkan saman fitnah terhadap bekas Ketua Wanita Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Anina Saadudin berhubung kata-kata fitnah yang dimuat naik dalam Facebook miliknya sejak Februari lalu hingga awal bulan ini.
Berdasarkan pernyataan tuntutan, Ahli Parlimen Bera itu mendakwa Anina menerbitkan 13 kata-kata fitnah dan turut memuat naik video di dalam Facebook miliknya.
Anina antara lain mendakwa menteri itu tidak kompeten dalam menjalankan tugasnya ketika melaksanakan peraturan-peraturan ketat untuk memerangi penyebaran Covid-19.