PAU medan kritikal akar umbi bicara telus masa depan parti

Iklan
Datuk Seri Hishammuddin Hussein

SHAH ALAM - Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang bakal berlangsung pada hujung minggu ini merupakan medan yang cukup kritikal bagi akar umbi berbicara secara telus dan ikhlas khususnya tentang perkara yang berkaitan dengan kelangsungan dan masa depan parti.

Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, PAU juga merupakan wadah untuk ahli parti itu merapatkan saf, mengukuhkan kesatuan dan sama-sama menentukan hala tuju yang jelas demi masa depan UMNO.

Iklan
Iklan

"Perhimpunan kali ini mestilah berupaya menyerlahkan kestabilan UMNO di setiap peringkat yang berlandaskan semangat kebersamaan, kesetiaan yang tidak berbelah bahagi terhadap parti serta ketaatan kepada pucuk pimpinan parti terutama institusi presiden.

"Kestabilan ini penting sekiranya kita mahu UMNO diyakini sebagai institusi terbaik untuk memimpin negara serta dilihat sebagai parti yang ikhlas dalam mempertahankan agenda kesatuan Melayu Islam,” katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Iklan

Hishammuddin yang merupakan Bendahari Agung Barisan Nasional (BN) menambah, kestabilan juga akan menentukan jatuh bangun UMNO dalam pilihan raya akan datang.

"Kestabilan jugalah yang UMNO boleh tawarkan kepada rakyat berasaskan pengalaman yang panjang,” katanya.

Iklan

Menurut Hishammuddin, agenda kesatuan Melayu Islam yang diperjuangkan UMNO selain kesungguhan membela kaum-kaum lain bukan sahaja akan menjamin kestabilan masa depan parti malah wajib dipertahankan demi melakar masa depan Malaysia yang lebih gemilang.

"Justeru, semasa bersidang kelak, bincanglah dengan penuh hikmah dan bijaksana.

"Letakkan sepenuh kepercayaan kepada kebijaksanaan Majlis Kerja Tertinggi dan pucuk pimpinan untuk menakhoda parti ke arah kestabilan yang amat kita perlukan sekarang,” katanya.