Tangkapan kes pengedaran dadah di Terengganu meningkat mendadak

Iklan
Roslee (tengah) bersama anggotanya melafazkan ikrar pada sambutan Peringatan Hari Polis ke-214, yang diraikan dalam keadaan normal baharu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu pada Khamis. - Foto Bernama

KUALA TERENGGANU - Tangkapan membabitkan kes pengedaran dadah di Terengganu meningkat secara mendadak dengan nilai rampasan sebanyak RM2.06 juta direkodkan sepanjang tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Ketua Polis Negeri, Datuk Roslee Chik berkata, seramai 379 individu ditahan dari Januari hingga Mac ini iaitu peningkatan lebih 50 peratus berbanding 242 tangkapan pada tempoh sama tahun lalu.

Iklan
Iklan

Katanya, sepanjang tempoh sama tahun lalu, nilai rampasan adalah sebanyak RM430,000.

Menurutnya, tangkapan berkenaan membabitkan peruntukan Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman gantung jika sabit kesalahan.

Iklan

"Kita meminta kerjasama semua pihak dalam memerangi jenayah dadah secara habis-habisan menerusi program Jihad Dadah yang dilaksanakan sejak Julai tahun lalu,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Sambutan Peringatan Hari Polis ke-214 peringkat Terengganu, di sini pada Khamis.

Dalam perkembangan lain, Roslee berkata, sebanyak 214 kenderaan di negeri ini telah didapati melakukan kesalahan berhubung pengubahsuaian ekzos sejak 1 Mac lepas.

Iklan

Katanya, daripada jumlah itu sebanyak 120 kenderaan telah dikenakan tindakan sita mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Hasil ‘Op Khas-Ekzos Bising’ yang dilaksanakan sejak 1 Mac lepas, sebanyak 72 buah motosikal, 75 buah kereta dan 67 buah lori telah dikenakan saman.

"PDRM (Polis Diraja Malaysia) akan terus mempergiatkan operasi ini kerana ia menganggu ketenteraman awam. Biasanya kegiatan ini berlaku pada tengah malam dan kita tidak akan memberi amaran sebaliknya terus mengeluarkan saman," katanya. - Bernama