KUANTAN - Polis akan menyiasat jika individu menaiki helikopter Airbus AS350 B3 yang terhempas di Subang, Selangor pada Rabu mempunyai permit merentas negeri untuk masuk atau keluar dari Pahang, kata Ketua Polis negeri, Datuk Seri Abd Jalil Hassan.
Abdul Jalil berkata, setakat ini, pihaknya menerima maklumat bahawa helikopter dalam penerbangan persendirian itu membawa juruterbang, penolong juruterbang dan tiga penumpang berlepas dari Sungai Lembing, di sini sekitar 8.30 pagi.
"Kami akan siasat jika mereka ada permit atau tidak...kami mahu mengingatkan mana-mana pihak yang ingin masuk ke Pahang untuk mendapatkan permit merentas negeri terlebih dahulu atau bersedia dikenakan kompaun.
"Peringatan ini juga terpakai kepada mereka yang menggunakan laluan udara atau laut," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Sambutan Peringatan Hari Polis ke-214 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini pada Khamis.
Sambutan yang dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail itu turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri.
Pada Rabu, sebuah helikopter Airbus Helicopter AS350 B3 yang dikendalikan Leopad Aviation Sdn Bhd terhempas di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah pada 9.25 pagi.
Kementerian Pengangkutan memaklumkan kejadian menyebabkan dua cedera manakala tiga lagi selamat dan kesemua mereka berada dalam keadaan stabil. - Bernama