Penganggur ugut bunuh ibu dipenjara lima bulan

Iklan
Gambar hiasan.

PETALING JAYA - Padah mengugut untuk membunuh ibu kandung kerana mahukan wang untuk membeli minuman keras, seorang penganggur dipenjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret di sini pada Khamis.

Majistret Muhammad Iskandar Zainol menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Rahmat Abdullah, 44, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

Iklan
Iklan

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 23 Mac lalu.

Lelaki itu didakwa melakukan ugutan jenayah bagi mendatangkan kegentaran terhadap warga emas P Muniamah, 73, yang merupakan ibu kandungnya dengan mengugut untuk membunuh wanita itu di sebuah rumah di Jalan PJU6, Persiaran Surian, Pelangi Damansara, di sini pada 9 malam, 21 Mac lepas.

Iklan

Dia dituduh mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Zamriah Zarifah Aris memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal berbentuk pengajaran, namun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan ketika kejadian dia sedang mabuk selain menghidap penyakit usus berlubang akibat terlalu banyak meminum minuman keras.

Iklan

Mengikut fakta kes, tertuduh telah meminta wang daripada ibunya untuk membeli minuman keras dan mengugut untuk membunuh warga emas itu menggunakan sebilah pisau lipat. - Bernama