KEMAMAN - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) enam pemancing termasuk seorang tekong yang hilang sejak Isnin lalu diperluaskan sehingga 577.42 batu nautika persegi dari perairan Kemaman di sini pada Khamis.
Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata, SAR pada hari kedua yang dimulakan seawal jam 7 pagi tertumpu di perairan Kuantan hingga Pekan, Pahang.
Menurutnya, SAR ini membabitkan 70 pegawai serta anggota dengan penglibatan dua aset laut Maritim Malaysia iaitu Kapal KM Pekan dan KM Gemia.
"Berikutan keadaan angin kencang dan laut bergelora yang melanda Pantai Timur Semenanjung sepanjang minggu ini, kami meminta bantuan sebuah pesawat udara dari Stesen Udara Maritim Subang (SUMS) bagi untuk mengesan mangsa.
"Kami tidak menolak kemungkinan bot dinaiki kesemua mangsa dihanyutkan ke arah selatan menuju ke arah Pulau Tioman di Pahang," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di sini pada Khamis.
Rashidilhadi berkata, pihaknya yakin bot nelayan berwarna hijau kelas A yang dinaiki mangsa itu juga masih berada di perairan Malaysia hasil maklumat terkini daripada keluarga memaklumkan ada menerima mesej menerusi aplikasi WhatsApp pada petang Rabu.
"Bagaimanapun sekiranya mereka masih gagal ditemui hari ini, kami tidak menolak kemungkinan bot berkenaan mungkin dihanyutkan di tengah laut," katanya.
Dalam kejadian Isnin lalu, enam pemancing termasuk tekong iaitu Mohamad Hafizrul Hisyam Zakaria, 29; Mohamad Shamrin Suhaimi, 19, Muhamad Hazim Luqman Zakaria,19; Rosidi Mohamad, 22; Mohamad Shahrul Ainmie Abdullah, 19; dan Mohamad Zukarnain Mohamat Nor, 20, dilaporkan tidak pulang selepas mereka keluar ke laut.
ARTIKEL BERKAITAN: Enam pemancing dikhuatiri hilang di laut
Naluri saya merasakan Angah masih hidup: Ibu