SHAH ALAM - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengulangi ketetapan diputuskan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Menurutnya, antara yang diputuskan adalah berkaitan penggunaan lambang Barisan Nasional (BN) selain ‘No Parti Keadilan Rakyat (PKR), No DAP’ serta kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terputus apabila Parlimen dibubarkan.
"MKT dah buat beberapa keputusan dan saya ingin ulang kembali pertamanya kita akan menggunakan lambang BN dalam PRU nanti. Maknanya walaupun kita dengan Muafakat Nasional (MN) atau sebagainya kita akan menggunapakai lambang BN.
"Keduanya ‘No PKR, No DAP’. Ini juga merupakan keputusan MKT dan hari ini ditekankan oleh Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataannya mengatakan UMNO tidak akan berunding dengan PKR untuk menghadapi pilihan raya dan saya kira pun selepas pilihan raya mungkin itulah keputusan kita.
"Ketiganya keputusan MKT meneruskan kerjasama dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan terus menyokong sehingga pilihan raya. Itu jelas dari segi kerajaan. Dari segi menteri dan ahli Parlimen kita yang berada di dalam kerajaan hari ini terus menyokong kerajaan sehingga pilihan raya,” katanya dalam wawancara bersama UMNO Online.
Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera turut menjelaskan dari segi hubungan kerjasama dengan Bersatu adalah cukup jelas.
"Seterusnya keputusan MKT adalah kerjasama antara kita dengan Bersatu dari segi parti diputuskan apabila Parlimen dibubarkan dan ini ‘clear’. Saya rasa tidak ada siapa yang mempertikaikan dari segi keputusan MKT.
"Maknanya kita ni macam ‘cerai taklik'. Apabila bubar Parlimen jatuh talak kita. Jadi kita dah menjelaskan daripada awal bahawa hubungan kita terputus secara automatik apabila Parlimen dibubarkan.
"Setiap ahli parti dan MKT malah saya sebagai Naib Presiden tentu sahaja akan mempertahankan keputusan yang dibuat MKT dan daripada segi disiplin parti kita perlu patuh kepada setiap keputusan yang dibuat oleh MKT. Inilah keputusan yang kita pegang sehinggalah pilihan raya,” katanya.
Dalam pada itu, Ismail Sabri turut menggesa dan berharap ahli parti tidak cepat melatah sebaliknya kekal tenang kerana banyak pihak mahu melihat UMNO berpecah yang akhirnya tidak menguntungkan parti untuk bergerak ke depan.
"Saya harap kita kena bertenang sebab ramai pihak yang mahu melihat UMNO ini berpecah. Keluar satu berita yang tidak berapa jelas kebenarannya kita dah bergaduh. Kita tuduh orang sana. Kita tuduh orang sini. Kita petik nama orang sana. Kita petik nama orang ini, ini tidak menguntungkan parti," katanya.
Beliau menambah, lupakan cerita-cerita yang tidak membawa faedah serta manfaat untuk UMNO kerana sudah pasti fokus parti adalah untuk menghadapi PRU.
"Sebab itu kita bersiap sedia dan mempersiagakan diri. Buat masa ini kita kurangkan terpengaruh dengan berita-berita yang tidak memberi manfaat kepada UMNO dan akhirnya tumpuan kita lari daripada fokus sebenar. Tumpuan sebenar adalah memperkukuhkan parti untuk menang pilihan raya,” katanya.