SUBANG - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membuat satu laporan polis bagi menafikan dakwaan bahawa anggota mereka tercedera disebabkan oleh dilanggar ketika insiden kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman, awal pagi Selasa lalu.
Pengarah JBPM Selangor, Azmi Osman berkata, pihaknya membuat penafian tersebut berikutan kes berkenaan masih disiasat oleh pihak polis dan dakwaan berkenaan juga hanyalah berdasarkan kepada video yang tular di media sosial.
"Laporan polis dibuat ini lebih kepada penafian terhadap dakwaan oleh pihak terlibat.
"Dan kita harap polis dapat mengambil tindakan selanjutnya berdasarkan saksi-saksi kita di tempat kejadian dan bukan hanya mengikut dakwaan pihak yang tidak berada di lokasi,” katanya kepada Sinar Harian selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya sekitar jam 10 malam tadi.
[ARTIKEL BERKAITAN: Muhammad Adib dipindah ke IJN semakin stabil]
[ARTIKEL BERKAITAN: Adib dilanggar bukan dipukul]
[ARTIKEL BERKAITAN: Itu bukan Muhammad adib tapi anggota lain]
Dalam kejadian awal pagi Selasa, mangsa berkenaan, Muhammad Adib Mohd Kassim dipercayai dipukul sekumpulan perusuh ketika dalam operasi memadam kebakaran kenderaan di hadapan kuil tersebut.
Ekoran daripada insiden itu, Adib mengalami kecederaan serius dan ditempatkan di Subang Jaya Medical Center (SJMC) sebelum dipindahkan ke Institut Jantung Negara (IJN) semalam.
Di samping itu, Badan Bertindak Kuil Sri Maha Mariamman mendakwa kecederaan yang dialami anggota JBPM dalam insiden kekecohan itu adalah disebabkan oleh kemalangan jalan raya.
Setiausahanya, VK Regu berkata, kejadian itu dipercayai berlaku apabila jentera milik JBPM cuba untuk mengundurkan kenderaannya sebelum melanggar mangsa terlibat.
Terdahulu, Ketua Pengarah JBPM, Datuk Mohammad Hamdan Wahid turut menafikan dakwaan pihak berkenaan dan mempersoalkan sama ada pihak berkenaan mempunyai bukti.