KOTA KINABALU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah merampas produk makanan ringan bernilai RM40,946.40 pada Rabu selepas disyaki menggunakan tanda halal yang tidak diperakui oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Rampasan kira-kira jam 11 pagi di sebuah premis di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) itu dilakukan susulan terdapat penandaan tulisan jawi yang bermaksud halal pada produk makanan import itu.
Pengarah KPDNHEP Sabah, Georgie Abas berkata, serbuan itu dilakukan bersama sepasukan anggota Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).
"Hasil pemeriksaan mendapati, semua makanan ringan yang diimport ini menggunakan tanda halal berkenaan pada setiap bungkusannya.
"Semua barangan itu disita untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata lagi, kes disiasat di bawah Perenggan 4(1)(a) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, Akta Perihal Dagangan 2011 yang menjadi suatu kesalahan di bawah Perenggan 8(b) Perintah yang sama.
"Jika sabit kesalahan, individu boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kedua denda RM250,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya," katanya.
Terdahulu, Georgie menegaskan pihaknya akan terus mempergiatkan usaha untuk melindungi pengguna daripada kegiatan salah guna tanda halal oleh pihak tidak bertanggungjawab.
"KPDNHEP Sabah tidak akan berkompromi sekiranya terdapat premis yang menggunakan penandaan halal yang tidak diperakui.
"Semua pengusaha atau syarikat dinasihatkan supaya memastikan setiap makanan atau produk keluaran mereka hanya menggunakan perakuan dan penandaan halal yang mendapat perakuan daripada pihak berwibawa seperti yang telah ditetapkan oleh undang-undang," katanya.