2,969 calon SPM 2020 terlibat penjadualan semula peperiksaan

Iklan
Reaksi ceria seorang pelajar Sekolah Victoria Institution setelah selesai menjawab kertas soalan Sains Komputer pada peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) Tahun 2020 pada Khamis. - Foto Bernama

KOTA KINABALU - Seramai 2,969 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 telah dikenal pasti terlibat untuk menduduki penjadualan semula peperiksaan awam itu seluruh negara sehingga 3 Mac lepas, kata Timbalan Menteri Pendidikan I, Muslimin Yahaya.

Beliau berkata, jumlah itu merupakan 0.74 peratus daripada keseluruhan 401,105 calon yang menduduki peperiksaan SPM 2020 dan penjadualan semula peperiksaan untuk calon itu dijangka bermula pada 6 April ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pemakluman dan semakan bagi calon terlibat dalam peperiksaan dijadualkan semula akan dimaklumkan ke setiap negeri setelah tamat peperiksaan SPM 2020.

"Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menetapkan bahawa hanya calon positif Covid-19, calon diarahkan kuarantin dan calon sakit dengan dokumen atau pengesahan surat doktor sahaja dibenarkan menduduki peperiksaan SPM yang dijadualkan semula.

Iklan

"Soalan (diberikan kepada calon SPM 2020 yang terlibat dengan penjadualan semula) adalah berlainan, tetapi sudah sedia ada daripada bank Lembaga Peperiksaan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Khamis.

Beliau menyempurnakan Majlis Kesyukuran Pengurusan Peperiksaan SPM 2020 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Kota Kinabalu di sini petang Khamis.

Iklan

Hadir sama, Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Dr Mistirine Radin dan Pengetua SMK Agama Kota Kinabalu, Hasnah Mohd Yakob.

Seramai 37 daripada 109 calon sekolah itu selesai menduduki peperiksaan SPM bagi kertas terakhir iaitu Sains Komputer pada Khamis.

SPM 2020 telah dilaksanakan mulai 22 Februari lepas dan berakhir pada Khamis membabitkan 83 mata pelajaran yang diadakan di 3,310 pusat peperiksaan dengan seramai 48,014 petugas dilantik seluruh negara.

Di Sabah, 36,432 calon menduduki SPM di 314 pusat peperiksaan disediakan di seluruh negeri melibatkan seramai 5,305 petugas. - Bernama