RAMADAN hampir tiba. Selepas itu kita menyambut Aidilfitri. Namun, kita masih dalam norma baharu dengan prosedur operasi standard (SOP) PKP, PKPB dan PKPP.
Ada gesaan supaya kerajaan melonggarkan sekatan rentas negeri agar kita dapat berjumpa dengan ibu bapa tercinta dan sanak saudara sempena hari raya. Suasana kampung menggamit jiwa dan 'melambai-lambai' supaya kita menjenguknya walau sementara.
Terima kasih kerajaan kerana tidak membenarkannya. Ambillah pengajaran daripada pandemik tahun pertama. Ramai warga emas iaitu golongan paling berisiko dijangkiti Covid-19.
Apa salahnya bertenang hingga wabak reda. Musibah datang bukanlah selamanya. Apalah kiranya ditarik nikmat beraya beberapa tahun daripadanya.
Lihat raya tahun lalu, dengan kerjasama semua, kes Covid-19 berjaya dilandaikan apabila rakyat tidak balik beraya. Itulah buktinya. Keselamatan warga mesti jadi perkara utama.
Namun, ada satu lagi yang lebih 'bahaya’ daripada balik raya, namanya pilihan raya. Disebabkan kuasa, ada yang jadi 'gila’ hendak mempercepatkannya. Kerana kuasa, pilihan raya negeri terpaksa diadakan juga. Keselamatan rakyat entahlah, mungkin tidak diambil kira. Yang penting dapat kuasa.
Lihat pilihan raya di Sabah tahun lalu. Selepasnya, daripada tiga angka, kes positif Covid-19 naik mendadak hingga empat angka. Ia bukan bersangka-sangka. Kerana rakus kuasa, rakyat jelata mendapat kesannya.
Wahai politikus, jangan buat durjana. Rakyat marhaen susah dan bermuram durja, sudahkah disantuni disapa?
Mereka yang hilang kerja, masihkah ada harapan akan dapat gantinya? Murid yang keciciran pelajaran, sudahkah dibantu persekolahannya? Banyak syarikat gulung tikar, sudahkah ada pemulihannya?
Rakyat sentiasa menilai khidmat wakil mereka di peringkat negeri dan negara. Jika teruk prestasinya, teruklah yang dikata. Jika baik, baiklah yang dikata. Berkhidmatlah lima tahun sahaja. Tidak perlu menyogok dengan wang dan janji manis semasa dekat pilihan raya.
Jika rakyat berpuas hati, tiba pilihan raya, rakyat akan undi juga. Lepas dipilih, berkhidmatlah dengan lebih baik. Fokuslah kepada rakyat yang sedang kesusahan dan merana. Tanggungjawab berkhidmat sudah diamanahkan, tidak perlu menyibuk dengan politiking berpanjangan untuk kekal berkuasa.
Politikus dan wakil rakyat perlu menyantuni dan berkhidmat untuk rakyat yang memerlukan, prihatin dengan keselamatan rakyat dan menjauhkan rakyat daripada kezaliman, kemungkaran dan dosa. Di penghujung khutbah Jumaat, ingatan ALLAH ini sentiasa terngiang-ngiang di telinga.
"Sesungguhnya ALLAH menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan serta memberi bantuan kepada kaum kerabat dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan larangan-Nya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhi-Nya.” (An-Nahl: 90)
Bagi pemimpin Muslim, ingatlah amaran daripada sabda Rasulullah SAW kepada pemimpin yang tidak melayani keperluan rakyatnya.
"Barang siapa yang ALLAH Azzawajalla serahkan kepadanya sebahagian urusan orang Muslim (kepimpinan) namun ia menutup diri daripada melayani keperluan mereka dan kefakiran mereka, nescaya ALLAH menutup diri daripadanya dan tidak melayani keperluannya, serta kefakirannya (pada hari kiamat).” (HR Abu Daud No. 2559, Hadis Sahih)
"Sesungguhnya orang yang paling dicintai ALLAH pada hari kiamat dan paling dekat tempat duduknya daripada ALLAH adalah seorang pemimpin yang adil, sedangkan orang yang paling dibenci ALLAH pada hari kiamat dan paling keras seksaannya adalah pemimpin yang zalim.” (HR Ahmad No. 10745, Isnad Hasan)
Memang berat tanggungjawab menjadi pemimpin. Namun, tunaikanlah amanah itu dengan sepenuh komitmen, semampunya dan sepenuh jiwa raga, nescaya akan dicintai rakyat dan Yang Maha Esa.
Janganlah khianat dan mengabaikan amanah yang ada. Di dunia mungkin terlepas hukuman dan penjara, namun akhirat masih ada untuk diadili dan dihukum Tuhan Yang Maha Adil lagi Sempurna.
* Mohammad Hafizuddin Abdul Mukti ialah Penolong Pengurus Jabatan Penerangan dan Perhubungan Pertubuhan IKRAM Malaysia