Jangan cipta alasan, sila patuh arahan

Iklan
Kerajaan atau pihak berkuasa pasti mempunyai maslahah tertentu ketika menetapkan sesuatu perkara. Jika tidak memudaratkan, pasti PKP tidak akan dikuatkuasakan.

PEJAM celik, pejam celik, sudah lebih setahun seluruh dunia bergelut melawan pandemik Covid-19. Sepanjang tempoh itu, banyak perkara baharu yang perlu kita implementasi dalam kehidupan seharian.

Mahu atau tidak, kita perlu menyesuaikan diri dengan suasana norma baharu demi kelangsungan hidup dan kemaslahatan bersama.

Iklan
Iklan

Namun, ada cerita kurang enak didengari lebih-lebih lagi saat negara masih lagi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) waima Bersyarat, Pemulihan mahupun Diperketatkan.

Masih ada segelintir individu yang ingkar dengan arahan pihak berkuasa dan pemerintah, misalnya merentas negeri sesuka hati untuk kepentingan peribadi.

Iklan

Malah, ada yang sanggup mencipta alasan bagi tujuan tersebut dan mendapatkan kebenaran pihak berkuasa semata-mata mahu lepas sekatan berkenaan.

Ya, niatnya mungkin untuk tujuan yang baik, menjenguk keluarga, mengeratkan hubungan suami isteri dan lain-lain lagi tetapi tindakan demi melampiaskan nafsu peribadi masing-masing adalah salah.

Iklan

Bukan hanya salah dari segi undang-undang. Ketahuilah, Islam juga tidak mengajar umatnya melanggar arahan pemerintah.

Dalam hal ini, penulis teringat nasihat yang pernah dititipkan oleh pendakwah, Isfadiah Mohd Dasuki tentang perkara tersebut.

Katanya, kerajaan atau pihak berkuasa pasti mempunyai maslahah tertentu ketika menetapkan sesuatu perkara.

Jika tidak memudaratkan, pasti PKP tidak akan dikuatkuasakan.

"Andai bertembung arahan daripada pihak berkuasa dengan perasaan kita yang merindui keluarga, maka mendengar arahan pemimpin ataupun pihak berkuasa lebih utama daripada melayan perasaan kita itu.

"Masakan tidak, apabila kita pergi juga menjenguk ibu bapa dan sebagainya, kita mungkin boleh memudaratkan insan kesayangan yang dicintai,” kata beliau.

Rentas negeri

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 3,170 kes Covid-19 dikesan akibat kegiatan merentas negeri atau dikenali sebagai import B sejak 1 Januari hingga 21 Mac lalu.

Import B merujuk kepada kes Covid-19 yang dilaporkan di sesebuah negeri. Ia dipercayai berpunca dari negeri lain disebabkan aktiviti merentas negeri.

Ternyata nasihat yang diberikan oleh Isfadiah bukanlah omongan kosong semata-mata. Ia bersumberkan dalil yang ada dinyatakan dalam kitab suci umat Islam.

Firman ALLAH SWT:"Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada ALLAH dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada ‘ulil-amri’ (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.” (Surah an-Nisa’, ayat 59)

Ia juga bertepatan dengan cara Rasulullah SAW supaya tidak mendedahkan diri kita kepada mudarat. Pada masa yang sama, baginda juga tidak memudaratkan orang lain selari dengan kaedah fiqah ‘Tiada mudarat dan tidak memudaratkan’.

Dalam satu temu bual penulis bersama Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara, Sharifah Fadylawaty Syed Abdullah, beliau memberitahu bahawa Islam menyuruh setiap Muslim berusaha mengawal jangkitan daripada terus merebak.

"Perkara penting yang perlu dititik beratkan dalam Islam adalah maqasid syariah yang turut meliputi penjagaan nyawa.

"Islam mengharamkan seseorang memudaratkan diri sendiri dan orang lain kerana ia bertentangan dengan perkara itu,” jelasnya.

Sesungguhnya, pandemik Covid-19 merupakan ujian daripada ALLAH SWT kepada hamba-hamba-NYA. Banyakkan bersabar dan usah mengeluh dengan ujian-NYA.

Renungkanlah peristiwa Israk dan Mikraj yang baru sahaja berlalu. Daripada kisah berkenaan, kita sebenarnya belajar bahawa selepas kesusahan itu pasti akan ada kegembiraan.

Ia sepertimana fasa kegembi-raan yang dilalui oleh baginda, berkat kesabarannya sebelum ini ketika ditimpa ujian apabila kehilangan insan tersayang.

Apa pun, teruslah menjaga hubungan kita dengan ALLAH SWT. DIA pasti akan membuka pintu atau memberikan jalan keluar kepada kita suatu hari nanti.

* Nurulfatihah Muah ialah wartawan Sinar Islam Plus