PADA 27 dan 28 Mac ini, buat pertama kali dalam sejarah 75 tahun penubuhan UMNO, parti itu bakal menganjurkan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 dalam suasana terkekang dek pandemik Covid-19.
Pandemik itu bagaimanapun tidak menghalang tumpuan rakyat Malaysia di seluruh negara untuk mengikuti perkembangan PAU2020 di Dewan Merdeka, PWTC nanti.
Hal ini kerana agenda perhimpunan itu bakal menentukan hala tuju UMNO bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), sama ada parti itu bakal bergerak bersendirian, terus memperkasakan Muafakat Nasional (MN) bersama Pas atau membentuk jajaran politik baharu.
Susulan tugas berat UMNO bagi menyatupadukan kembali 3 juta ahli parti itu melalui PAU, ikuti luahan hati Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam menyelami polemik dan harapan yang berlaku dalam parti itu ketika ini.
SINAR HARIAN: Boleh Datuk Seri beri sedikit pencerahan mengenai perjalanan PAU2020?
AHMAD MASLAN: Ini sejarah kali pertama sejak 75 tahun UMNO ditubuhkan, kita membuat dua kombinasi pelaksanaan PAU pada 27 dan 28 Mac ini iaitu secara bersemuka dan maya. Jadi, perkara ini tidak pernah berlaku sebelum ini.
Sejumlah perwakilan berada di Dewan Merdeka, PWTC dan sejumlah lagi perwakilan di 190 lokasi UMNO bahagian masing-masing. Apakah yang akan disiarkan secara langsung? Ucapan perasmian mesyuarat tiga sayap parti oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan pada hari Sabtu.
Kemudian, tentunya ucapan dasar Ketua Wanita UMNO, Ketua Pemuda UMNO dan Ketua Puteri. Pada hari Ahad, agenda yang disiarkan secara langsung adalah ucapan dasar Presiden UMNO sekitar jam 9 pagi dan sesi penggulungan oleh Timbalan Presiden dan Presiden pada jam 6 petang.
Itu yang boleh disaksikan secara langsung di www.umno-online.my. Bagaimanapun, ucapan jurucakap perbahasan sayap-sayap parti dalam PAU hanya akan disiar melalui aplikasi Webex kepada perwakilan-perwakilan di lokasi UMNO bahagian. Itu tidak disiarkan kepada umum.
Apakah gambaran usul-usul penting yang bakal dibangkitkan dalam PAU kali ini selain usul utama iaitu usul menolak kerjasama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada PRU15?
Pada 1, 2 dan 3 Januari lalu, daripada 190 UMNO bahagian di seluruh negara bersidang, 124 bahagian membuat usul supaya tiada kerjasama dengan Bersatu.
Justeru, 124 UMNO bahagian daripada keseluruhan 190 UMNO bahagian mewakili 65 peratus. Itu tentunya akan mendominasi usul penting yang bakal dibangkitkan dalam PAU kali ini.
Tetapi, saya ingin mengingatkan bukan hanya usul politik yang akan dibangkitkan. Namun lebih kepada usul yang menyentuh ucapan dasar Presiden UMNO. Presiden akan menyentuh isu politik, agama, ekonomi, pendidikan, antarabangsa dan isu semasa Covid-19.
Walaupun begitu, perwakilan sedia maklum terhadap dua usul penting iaitu usul menamatkan kerjasama dengan Bersatu pada PRU15 dan usul UMNO hanya bersama kerajaan PN sehingga pembubaran Parlimen.
Apa pandangan Datuk Seri terhadap dakwaan pucuk kepimpinan UMNO cuba ‘mengatur’ topik usul perbahasan dengan 13 perwakilan UMNO negeri yang terpilih juga dikatakan ‘ditapis’ terlebih dahulu?
Walaupun jurucakap perbahasan diberi garis panduan oleh parti, apabila kita berada di atas pentas, akhirnya terpulang kepada mereka untuk cakap apa.
Asalkan tidak lari daripada norma kebiasaan seperti ucapan menghina institusi diraja dan perkara sensitif lain. Perkara itu memang dilarang. Tetapi hal-hal sampingan yang mahu disebut oleh perwakilan, mereka mempunyai kebebasan tertentu untuk menyatakan pandangan masing-masing.
Bagaimana pula status UMNO Perlis dan Sabah kerana kedua-dua negeri itu menyatakan kesediaan bekerjasama dengan Bersatu pada PRU15?
Perlis ini berubah-ubah, sukar untuk saya menangkap apa kehendaknya.
Adakah tindakan akan diambil kepada mereka yang tidak mengikut ketetapan UMNO?
Kami tidak fikir apa-apa tindakan, bukanlah kata ada atau tiada. Untuk sementara ini, kita biarkan apa yang ada. Saya lihat ada perubahan lain di Perlis apabila (Pengerusi UMNO Perlis) Datuk Seri Shahidan Kassim kini mempunyai pandangan yang tertentu.
Dalam grup (WhatsApp) ketua bahagian pagi ini (Rabu), beliau menyebut, ‘Saya sokong kerajaan PN sehingga pembubaran Parlimen’. Begitu pula. Itu bukanlah gambaran main-main. Shahidan is Shahidan.
Setiap negeri ada pendapat masing-masing, adakah setiap negeri akan mendapat autonomi?
Akhirnya MKT akan buat keputusan. Sekarang ini autonomi hanya diberikan kepada Sabah, mana boleh beri autonomi kepada setiap negeri, apa lagi yang ada pada UMNO Pusat. Kita hanya bagi autonomi pada Sabah.
Apakah harapan Datuk Seri terhadap PAU pada kali ini?
Kita kena memahami bahawa 75 tahun UMNO pada tahun ini adalah bersamaan sambutan Jubli Intan.Tiada parti sepanjang ini hayatnya dalam sejarah Malaysia dan tiada parti sebesar ini jumlah ahlinya.
Kita perlu menjadi dominan kembali supaya UMNO menjadi parti tonggak dalam PRU15 yang boleh menjamin kestabilan politik demi manfaat rakyat.
Jika UMNO tidak menjadi dominan, negara tidak stabil kerana tiada parti yang betul-betul dominan.
(Jumlah) 55 kerusi (Parlimen) yang dimiliki UMNO sekarang tidak boleh menjadikan UMNO dominan. 79 kerusi pun tidak boleh jadi dominan. Kita perlu menang seberapa banyak kerusi untuk jadi dominan.
Adakah keperluan menjadi parti dominan itu harus mencapai angka 112 kerusi Parlimen?
Untuk menjadi parti dominan, ini tidak semestinya jumlah 112 kerusi Parlimen. Kalau sampai 100 pun (kerusi Parlimen) dimenangi sebuah parti, tiada parti lain boleh wujudkan kerajaan tanpa kerjasama dengan parti yang memiliki 100 (kerusi) ini.
Itu teori politik di Malaysia, ada orang kata 90 kerusi, kita sudah tahu angka 79 kerusi tidak cukup kuat kerana ia akan pecah. Pada pandangan saya, mungkin 90 ke 100 kerusi Parlimen (diperlukan) untuk menjadi magnet besar.
UMNO dan BN perlu menang sejumlah itu, minimum, untuk menjadi magnet besar. Apabila kita sudah jadi magnet besar, tiada mana-mana parti boleh menubuhkan kerajaan tanpa bersama UMNO.
Justeru, harapan saya itu perlu disematkan dalam kotak pemikiran para perwakilan UMNO pada 27 dan 28 Mac ini.
Adakah Datuk Seri menganggap alasan kerajaan PN tidak beri jawatan kepada pemimpin terkait kes mahkamah adalah satu pertimbangan adil?
Satu perkara paling penting dalam prinsip keadilan dan kehakiman ialah ‘innocence until proven guilty’.
Itu fakta prinsip kehakiman dan keadilan di negara kita. Jangan orang itu ada kes mahkamah, lantas kita menyebut mereka sudah bersalah. Itu tidak betul dan melanggar segala hukum keadilan yang ada. Bukan hanya di Malaysia, tetapi di seluruh dunia.
Justeru, bagi saya alasan itu tidak boleh diambil kira (oleh kerajaan PN). Kalau ia diambil kira, tentu (Pengerusi BN Sabah) Datuk Seri Bung Mokhtar Raden tidak menjadi Timbalan Ketua Menteri Sabah.
Ada juga penjawat utama dalam UMNO yang tiada kes mahkamah pun. Timbalan Presiden tiada kes, dua Naib Presiden tiada kes, Ketua Pemuda dan Puteri tiada kes, ada penjawat utama yang mendapat nombor pengundian tertinggi dalam MKT tiada kes.
Sekali lagi saya hendak jelaskan UMNO bukan gila jawatan.
Adakah usul perbahasan nanti akan turut membincangkan siapa calon Perdana Menteri?
Tidak tahulah apa yang akan disebut oleh perwakilan, perwakilan boleh menyebut tentang apa-apa perkara sesuai. Tetapi saya ingin maklumkan daripada kajian saya sendiri, melalui percakapan saya bersama peguam-peguam.
Apa-apa yang berlaku dalam kalangan pemimpin utama UMNO yang diheret ke mahkamah ini lebih bersifat 'selective political prosecution' (pendakwaan politik terpilih).
Jadi kalau ingin membuat rumusan terhadap Presiden mengenai kes beliau, tidak adil untuk dirinya. Macam saya sendiri, kes saya, 41 orang disita akaun, 80 orang dikompaun, saya termasuk dalam 80 orang itu.
Disita itu, kalau RM100,000 kena pulangkan RM100,000, tapi mereka tidak tahu pun duit asal dari mana. Yang kompaun ini bukan jumlah yang sama, ada yang RM50,000 dapat cek, kena bayar RM2.5 juta, 50 kali ganda.
Ada yang UMNO Bahagian dapat RM100,000 kompaun RM2.5 juta, 25 kali ganda, saya mendapati itu tidak adil. Jadi kami kumpulkan, panggil peguam, panggil media. Orang yang kuat bersuara adalah saya dan (bekas ahli Parlimen Johor Bahru) Tan Sri Shahrir Samad.
(Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) Latheefa Koya pada 31 Disember 2019 menyebut ada penerima dana 1MDB yang degil akan dihadapkan ke mahkamah. Sebelum dia berkata begitu, sebulan dua sebelum itu kami 33 (tertuduh) membawa kes untuk semakan kehakiman kerana ketidakpuashatian terhadap begitu banyak kompaun yang digandakan ini.
Jadi akibat semakan kehakiman itu, semua tidak dikenakan kompaun sekarang ini, hanging di mahkamah. Jadi kalau mahu kata saya ini rasuah, tidak betul.
Bab itu yang kita sebut 'selective political prosecution'. Kenapa hanya berdua (terima tempias), sedangkan yang terima 80 orang, patutnya Latheefa Koya heret 80 orang.
Tapi hanya kerana kami berdua yang menjadi kepala maka kami dianggap degil walhal yang lain tidak bayar pun, nampak sangat ia selektif. Itu zaman PH, ia sudah berlalu tetapi berterusan sehingga ke hari ini.
Setujukah Datuk Seri bahawa dakwan kluster mahkamah adalah satu bentuk pembunuhan karektor kepada perjawatan-perjawatan utama UMNO?
Ya, memang itu tujuan mereka. Tujuan mereka semasa kerajaan PH untuk menjatuhkan Umno ini ialah mengheret pemimpin-pemimpin UMNO dan membawa 16 pemimpin UMNO cuba mengharamkan parti itu. Itu masa zaman PH.
Pada zaman PN ini, untuk melemahkan UMNO macam tadilah, pandangan orang. Kepimpinan utama, parti utama tiada jawatan, itu kaedah untuk melemahkan UMNO.
Pandangan orang, masa zaman PH untuk menjatuhkan UMNO bawa pemimpin-pemimpin utamanya ke mahkamah.