KOTA KINABALU - Pakatan Harapan (PH) perlu menolak sebarang kerjasama dengan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad serta sekutunya menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah, Razeef Rakimin berkata, bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu sudah diberi peluang yang banyak pada PRU lalu.
"PH bukan sahaja menerima Bersatu malah menjadikan Mahathir sebagai Pengerusi PH serta calon Perdana Menteri dari PH.
"Mahathir hanya kebetulan berada di tempat dan masa yang tepat dalam gelombang kebangkitan rakyat sampai ke puncak yang menyaksikan penolakan rakyat terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) pada ketika itu.
"Kita telah berikan kerusi terbanyak kepada parti beliau namun hanya berjaya memenangi 13 daripada 52 kerusi Parlimen yang ditandingi. Maka tidak timbul beliau sebagai faktor kepada kemenangan PH," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Razeef berkata, ketika menjadi Perdana Menteri juga beliau banyak menolak inisiatif daripada beberapa kementerian termasuk menolak untuk melaksanakan beberapa janji yang termaktub dalam manifesto PH.
Malah katanya, bekas Perdana Menteri itu juga menggunakan taktik yang beliau mahir iaitu 'pecah dan perintah' apabila mencadangkan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai calon Perdana Menteri.
"Beliau cuba memerangkap Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak dalam permainan kotor yang akhirnya menimbulkan pergeseran antara komponen PH.
"Perpecahan ini bukan sahaja mengagalkan usaha mendapatkan kembali mandat rakyat malah menyebabkan kerajaan Warisan Plus tumbang di Sabah," katanya.
Sehubungan itu, Razeef menasihatkan kepada parti di bawah PH supaya menolak kerjasama dengan Mahathir yang jelas akan menyebabkan rakyat menolak PH pada PRU15 akan datang.
"Masuk ke dalam lubang ular yang sama sebanyak dua kali hanya menunjukkan PH masih belum matang untuk memimpin negara ini dan saya percaya jika PH masih ingin bersama Mahathir, rakyat akan menghukum melalui peti undi," katanya.