KUALA LUMPUR - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia mematahkan kegiatan menjual hidupan liar dalam dua serbuan berasingan di ibu negara, 17 Mac lalu.
Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, operasi bermula jam 9 malam itu berjaya menahan dua suspek berusia 23 dan 41 tahun.
Menurutnya, hasil operasi itu berjaya merampas 9 kilogram (kg) bahagian hidupan liar disyaki daging dan tulang Rusa Sambar, empat ekor burung Murai Batu, seekor burung Merbah Luris Leher dan seekor Burung Daun.
"Siasatan mendapati burung itu akan dijual menerusi medium media sosial manakala daging rusa itu disyaki dibawa masuk dari Sabah dengan harga RM77 hingga RM100 sekilogram," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Beliau berkata, siasatan awal suspek gagal mempamerkan sebarang dokumen yang sah daripada Jabatan Perhilitan Semenanjung Malaysia membabitkan semua barang rampasan tersebut.
Katanya, dua laporan polis telah dibuat di Balai Polis Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.
"Kesemua barang rampasan telah dibawa ke Jabatan Perhilitan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk tindakan selanjutnya," katanya.