RIYADH - Satu serangan roket menyebabkan salah sebuah tangki di sebuah terminal minyak di Jizan, selatan Arab Saudi terbakar, kata Kementerian Tenaga negara itu pada Jumaat.
Menurut AFP, serangan itu dilancarkan pada hari Khamis dan berlaku pada ulang tahun keenam campur tangan tentera perikatan yang diketuai oleh Riyadh dalam perang saudara di Yemen.
Bagaimanapun, kementerian tersebut tidak menyatakan dalang yang menjadi serangan tersebut tetapi ia berlaku ketika kumpulan Houthi yang mendapat bantuan dari Iran meningkatkan serangan terhadap negara beraja itu.
Menurut Kementerian Tenaga Arab Saudi, tiada kecederaan dan kematian dilaporkan akibat serangan itu.
Ia juga berlaku ketika Arab Saudi menawarkan gencatan senjata kedua manakala Utusan Khas Amerika Syarikat (AS) ke Yemen, Tim Lenderking dijangka kembali semula ke Asia Barat untuk memberi penekanan betapa pentingnya gencatan senjata di negara yang musnah akibat peperangan itu.
Namun, Houthi enggan menerima gencatan senjata itu dengan menganggapnya tidak ada sesuatu yang baharu ditawarkan ketika kumpulan berkenaan menuntut supaya tentera perikatan diketuai Arab Saudi menarik balik sekatan laut dan udara ke atas Yeman.
Kementerian Tenaga itu mengutuk serangan tersebut kerana ia mampu menjejaskan ekonomi dunia.
Awal Khamis lalu, tentera perikatan diketuai Arab Saudi turut memintas beberapa dron yang membawa bahan letupan ke negara beraja itu oleh kumpulan Houthi, lapor media kerajaan.
Kumpulan bersenjata itu juga menyasarkan universiti-universiti di Najran dan Jizan yang terletak berdekatan dengan sempadan Yemen, kata tentera perikatan tersebut.
Riyadh mengetuai tentera perikatan dalam perang saudara di Yemen pada Mac 2015 untuk memulihkan pentadbiran kerajaan pimpinan Presiden negara itu, Abdrabbuh Mansur Hadi tetapi terpaksa berdepan dengan kumpulan Houthi.
Perang saudara itu telah menyebabkan lebih 200,000 orang terbunuh dan berjuta-juta lagi penduduk hilang tempat tinggal. - Agensi