KOTA BHARU - Yayasan Petronas telah membantu 1,000 individu daripada golongan kurang berkemampuan di Pantai Timur melalui Program Memperkasakan Ekonomi Asas Rakyat (empowerECER-MEKAR) yang dilaksanakan untuk menjana pendapatan golongan sasar melalui siri latihan mempertingkatkan kemahiran dan keusahawanan.
Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, Che Ahmad Tarmizi Abdul Rahman dalam satu kenyataan berkata, program empowerECER-MEKAR dijalankan dengan Kerjasama Majlis Pembangunan Ekonomi Wilayah Pantai Timur (ECERDC) serta Universiti Malaysia Kelantan, Universiti Sultan Zainal Abidin dan Universiti Malaysia Pahang.
"Melalui program tersebut, 1,000 peserta terpilih dari Dungun, Kemaman, Pasir Putih, Tanah Merah dan Lipis akan dilatih di dalam bidang berkaitan di samping mengusahakan produk mereka secara komersial.
"Di Kelantan, seramai 500 peserta berusia antara 18 hingga 45 tahun yang terdiri daripada ibu dan bapa tunggal, suri rumah serta belia menganggur telah disenarai pendek bagi menghadiri sesi temuduga di jajahan Pasir Puteh dan Tanah Merah,” katanya dalam satu kenyataan pada RAbu.
Menurutnya, Petronas amat komited di dalam memastikan kesejahteraan hidup rakyat Malaysia yang lestari dan pihaknya menyedari usaha merapatkan jurang kemiskinan dan pengangguran memerlukan komitmen berterusan.
Oleh yang demikian, katanya, program itu dirancang bagi memastikan matlamat jangka panjang ke arah pencapaian negara berpendapatan tinggi dapat dilaksanakan.
"Melalui program ini, peserta terpilih akan mengikuti latihan kemahiran dan keusahawanan selama 19 bulan di dalam bidang-bidang seperti pembuatan makanan, membaik pulih peralatan elektrik, pendawaian elektrik, membaiki motosikal, fabrikasi logam, reka bentuk pakaian, dandanan rambut, pembersihan dan urutan.
"Di samping itu, mereka juga bakal didedahkan dengan ilmu keusahawanan terutama pengurusan perniagaan secara profesional meliputi aspek pengurusan kewangan, peningkatan mutu produk serta pemasaran produk.
"Program empowerECER-MEKAR merupakan sebahagian daripada Program Memampankan Ekonomi Asas Rakyat (MEKAR) yang bermatlamat untuk meningkatkan pendapatan 3,400 keluarga kurang berkemampuan di seluruh negara tahun lalu,” katanya.
Untuk rekod, sejak 2005, Petronas telah melaksanakan pelbagai program tanggungjawab sosialnya (CSR) di dalam menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat di negara ini termasuk program Sentuhan Kasih yang diadakan pada setiap kali perayaan utama masyarakat Malaysia.