JPJ tangkap tujuh tonto di Pulau Pinang

Iklan
Adenan (dua dari kanan) bersama wakil agensi yang terlibat dengan Ops Tonto menunjukkan alat walkie-talkie yang dirampas.

BUKIT MERTAJAM - Tujuh lelaki dipercayai tonto berjaya ditahan berhampiran ibu pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Seberang Jaya di sini serta pejabat cawangan di dua daerah dalam Seberang Perai pada Jumaat.

Pengarah JPJ Pulau Pinang, Adenan Md Isa berkata, tangkapan dibuat dalam Ops Tonto yang dijalankan bersama polis, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bermula jam 8.30 pagi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, hasil risikan dibuat mendapati kumpulan tonto terbabit yang melindungi syarikat lori akan memantau pergerakan masuk dan keluar pegawai penguat kuasa JPJ untuk disalurkan kepada pemandu lori yang membawa muatan berlebihan.

"Mereka akan teropong anggota dan pegawai kita di pintu depan serta pintu belakang pejabat dan sekiranya ada pergerakan keluar mereka akan segera memaklumkan perkara itu kepada pemandu lori yang dilindungi.

Iklan

"Perbuatan mereka ini bukan sahaja mengganggu tugas penguat kuasa kerana membocorkan maklumat serta pergerakan pegawai yang bertugas malah ada yang bertindak agresif dengan mengancam keselamatan penjawat awam," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Jumaat.

Motosikal milik tonto yang dirampas oleh JPJ.

Adenan berkata, hasil siasatan mendapati mereka diberi upah melebihi RM300 sehari dengan hanya memantau dan menyalurkan maklumat pergerakan penguat kuasa JPJ sepanjang hari.

Iklan

Sementara itu dalam operasi yang dijalankan sehingga jam 10 pagi itu, pihaknya merampas tujuh buah walkie-talkie daripada tonto terbabit yang digunakan untuk mereka berkomunikasi dengan pemandu lori.

Katanya, semakan yang dibuat oleh SKMM mendapati kesemua alat komunikasi berkenaan tidak dilesenkan seperti diperuntukkan di bawah Akta Komunikasi Multimedia 1998 (Akta 558).

"Kita turut merampas enam buah motosikal dan sebuah pacuan empat roda milik tonto-tonto terbabit dan kita akan semak sekiranya mereka mempunyai saman atau kesalahan lalu selain memeriksa spesifikasi kenderaan mereka sama ada mengikut peraturan ditetapkan.

"Kesemua yang ditahan berusia dari 20 hingga 40 tahun dan ujian saringan air kencing yang dibuat terhadap mereka mendapati tiga daripadanya positif dadah jenis methamphetamine," kata beliau lagi.

Adenan berkata, mereka yang positif dadah diserahkan kepada pihak AADK untuk tindakan lanjut manakala empat lagi diserahkan kepada polis.