Projek pertanian bandar dibangunkan di lima gunung di Perak

Iklan
Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin (kanan) bersama Pengarah Jabatan Penerangan Perak, Mohd Taip Ubah (kiri) menurunkan tandatangan pada Program Signature Pusat Maklumat Rakyat di UTC Perak hari ini. - Foto Bernama

IPOH - Projek pertanian bandar berkonsepkan ekopelancongan akan dibangunkan di lima kaki gunung bermula April ini.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, lima kaki gunung itu adalah kaki Gunung Masoorat, Gunung Rapat, Gunung Panjang dan Gunung Gunting yang terletak di Ipoh serta projek pertanian bandar itu turut dilaksanakan di Gunung Liang di Tanjung Malim.

Iklan
Iklan

Katanya, sebagai permulaan, kaki Gunung Masoorat yang berkeluasan 7.14 hektar telah dijadikan sebagai projek perintis sejak hujung tahun lalu dan ia turut melibatkan kerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP).

"Idea konsep pertanian bandar ini tercetus semasa penularan wabak Covid-19, berikutan tiada pergerakan import dan eksport sumber bahan mentah dan menyebabkan berlakunya kekurangan sumber makanan.

Iklan

"Ramai penduduk kehilangan kerja dan sumber pendapatan, jadi projek ini adalah salah satu cara untuk membantu penduduk, meningkatkan hasil ekonomi melalui konsep pertanian bandar. Selain itu, ia dapat menarik pengunjung melalui produk ekopelancongan yang ada di situ,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) projek berkenaan yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan PPPNP Yahanis Yahya di sini pada Jumaat.

Iklan

Rumaizi berkata, antara sayur-sayuran yang ditanam di sekitar kaki Gunung Masoorat, adalah sayur kailan, sawi, cili dan pudina, yang ditanam secara hidroponik dan fertigasi.

"Dengan pelaksanaan projek ini nanti ia dapat memupuk kesedaran dan minat orang ramai sebagai penyumbang, seterusnya menyokong usaha kerajaan negeri dalam menjamin kualiti dan sekuriti makanan,” tambahnya. - Bernama