SHAH ALAM – Penekanan pendidikan daripada sudut integriti yang gagal diterapkan bermula di peringkat pra sekolah menjadi antara penyebab berlaku masalah integriti dalam masyarakat.
Penulis Buku Rasuah Politik, Profesor Madya Dr Ishak Suliaman berkata, dalam aspek itu, penghayatan kepada sejarah yang tertulis dalam al-Quran seharusnya antara yang perlu diberi penekanan.
"Manusia tidak belajar daripada sejarah kerana ia dilihat lama. (Tetapi) kenapa dalam al-Quran dihidangkan dengan cerita Bani Israil, cerita Nabi Adam, Nabi Nuh..sebenarnya inilah pengajaran yang berpanjangan.
"Pengajaran diambil secara umum, walaupun kisah itu berlaku berkurun-kurun yang lepas, ia penyebab boleh berulang. Begitu juga dengan kisah Firaun dan Qarun.
"Kenapa masalah begini (tiada integriti)? Maaf cakap Malaysia ini dari sudut mendidik integriti, tidak bermula di peringkat pra sekolah. Tidak ada menekan aspek ini. Jadi kita hilang bagaimana untuk mendidik integriti ini. Sejarah integriti ini kalau kita tinggalkan kita akan menghadapi masalah yang cukup besar pada masa akan datang," katanya ketika menjadi panelis Wacana Sinar Harian Siri ke-242 bertajuk ‘Integriti Anak Muda Penyelamat UMNO’ yang disiarkan menerusi dalam talian pada Khamis.
Wacana turut menampilkan Presiden Persatuan Pemeriksa Fraud Bertauliah Malaysia, Datuk Seri Akhbar Satar dan Exco Pemuda UMNO, Farhan Khairuddin manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.
Jelas beliau, integriti adalah paksi dan taqwa merupakan asas bagi masyarakat khususnya kepimpinan negara untuk terus membawa negara ke jalan yang betul.
"Sistem kehidupan amat penting dan cara berorganisasi parti itu perlu lah mengikut nilai dan jika Islam, jadilah yang sebaik-baiknya. Jika ia bersifat moral ambillah satu nilai yang paling tinggi.
"Jika ada dua ini InsyaALLAH kita mengharapkan inilah bakal pemimpin yang mampu meneruskan kehebatan negara ini," katanya.