Industri benih punyai potensi untuk dibangunkan: Ronald Kiandee

Iklan
Ronald Kiandee (depan, kanan) mendengar penerangan dari Ketua Pegawai Eksekutif GWG, Dr Chua Kim Aik (depan, kiri), pada Program Walkabout dan Taklimat Industri Benih di Green World Genetics Sdn Bhd (GWG) pada Jumaat. -Foto Bernama

RAWANG - Industri benih tanaman mempunyai potensi untuk dibangunkan syarikat tempatan bagi menampung bekalan dalam negara dan sehingga tahun lepas kira-kira 90 peratus bekalannya diimport, kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Justeru beliau berharap pihak swasta mengambil peluang berkenaan untuk bersama kerajaan dalam membangunkan industri berkenaan bersama-sama.

Iklan
Iklan

"Benih merupakan satu industri yang penting dan harus bergerak seiring dengan industri agromakanan itu sendiri. Apa juga yang kita tanam memerlukan benih yang berkualiti, sesuai dengan keadaan cuaca dan tanah di negara kita.

"Inilah masanya para pemain industri untuk turut sama bangunkan industri benih di negara kita,” katanya selepas membuat lawatan ke Syarikat Green World Genetics Sdn Bhd di sini pada Jumaat.

Iklan

Ronald berkata, pihak swasta perlu menyahut cabaran membangunkan industri benih menjadikan ia sebagai satu industri yang memberi pulangan baik dari segi ekonomi.

Beliau yakin industri berkenaan sekiranya digerakkan dengan dasar yang baik akan membuka peluang pekerjaan baharu kepada generasi muda.

Iklan

Pada masa sama, Ronald sekali lagi menyatakan bahawa MAFI kini sedang merancang untuk menggubal satu rang undang-undang baharu mengenai benih.

Beliau berkata, rang undang-undang itu akan meliputi kawal selia ke atas semua benih yang terkawal dari segi pemprosesan, pengujian, penjualan, pengedaran, pengimportan, pengeksportan dan memastikan kualiti benih yang dikeluarkan memenuhi syarat dan standard yang akan ditetapkan. - Bernama