KEMAMAN - Bot nelayan kelas A dinaiki lima pemancing dan seorang tekong yang dilaporkan hilang sejak Isnin berkemungkinan ada melakukan beberapa kesalahan melanggar syarat sah lesen.
Komander Zon Maritim Malaysia Kemaman, Rashidilhadi Abd Rashid berkata, bagaimanapun siasatan lanjut akan dilakukan bagi memastikan mungkin ada juga faktor kecuaian pemilik bot tersebut.
"Di peringkat awal kita dapati berkemungkinan ada beberapa perlanggaran syarat sah lesen kerana pemeriksaan mendapati lesen bot sudah tamat tempoh selain membawa pemancing rekreasi yang memerlukan lesen khas dikeluarkan oleh Jabatan Laut Malaysia.
"Ini kerana apabila bot itu tidak mendapat lesen dan permit yang diwajibkan kepada mereka, sekali gus keselamatan diragui, tetapi dalam masa sama kita juga akan melihat berkemungkinan ada berlakunya kecuaian pemilik bot sendiri," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Jeti Zon Maritim Kemaman, di sini pada Jumaat.
Jelasnya, bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ketiga (Jumaat) membabitkan kekuatan 80 pegawai dan anggota dengan kekuatan sebuah pesawat APMM AS365 Dauphin dan KM Pekan dijadualkan di sekitar perairan Pahang, jam 10.20 pagi.
"Bagaimanapun, pada jam 8.30 pagi, kami menerima maklumat bot mangsa sudah ditemui dan sedang ditunda oleh bot nelayan tempatan pada jarak 50 batu nautika utara Pulau Tioman, Pahang.
"Salah seorang mangsa yang dapat dihubungi dan memaklumkan bahawa mereka dalam keadaan selamat tanpa kecederaan.
"Dia juga memaklumkan bot mereka mengalami kerosakan sehingga hanyut sebelum diselamatkan oleh bot nelayan tempatan yang berpengkalan di Kuantan, Pahang," katanya.
Beliau berkata, pesawat udara kemudian dapat mengesan kedua-dua bot tersebut pada sekitar 8 batu nautika dari Kuala Kuantan sebelum bot Kilat 49 ke lokasi membantu memudahkan pergerakan menunda.
"Kesemua mangsa telah selamat sampai ke jeti kira-kira jam 1.15 petang. Pemeriksaan fizikal dan rawatan segera oleh petugas kesihatan di lokasi dilakukan dan didapati mereka dalam keadaan sihat tanpa kecederaan cuma kelesuan kerana tanpa bekalan makanan dan minuman.
"Mangsa akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman sebelum diserahkan kepada keluarga masing-masing," katanya.
Katanya, kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 Seksyen 8(B) akta sama.
Dalam kejadian Isnin lalu, enam pemancing termasuk tekong iaitu Mohamad Hafizrul Hisyam Zakaria, 29; Mohamad Shamrin Suhaimi, 19, Muhamad Hazim Luqman Zakaria,19; Rosidi Mohamad, 22; Mohamad Shahrul Ainmie Abdullah, 19; dan Mohamad Zukarnain Mohamat Nor, 20, dilaporkan tidak pulang selepas mereka keluar ke laut.