PENGENDALI Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe akan melakukan persiapan awal mengkaji aksi persahabatan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menentang India yang akan berlangsung pada Selasa ini.
Menurutnya, data daripada perlawanan itu penting dalam usaha mempersiapkan pasukan apatah lagi bakal berdepan UAE dalam perlawanan pertama sambungan aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada 3 Jun depan.
"Kami barisan jurulatih bukan sahaja memantau perlawanan UAE menentang India sahaja, kami juga memantau dari segi perlawanan UAE pada tahun lepas ketika mereka menentang beberapa pasukan lain yang akan memberikan banyak maklumat kepada kami.
"Sudah tentu maklumat itu kita dapat dan tahu kesebelasan utama mereka dan sedikit sebanyak akan memberikan gambaran kepada kita untuk perlawanan menentang UAE pada Jun nanti," katanya dalam sidang video bersama media.
Untuk rekod, Harimau Malaya akan menentang UAE pada 3 Jun disusuli menentang Vietnam pada 11 Jun dan menyudahkan aksi Kumpulan G menentang Thailand pada 15 Jun dalam aksi yang diadakan secara karnival di UAE.
Dalam masa sama, Cheng Hoe turut mengakui sudah mula meningkatkan intensiti latihan memandangkan ketiadaan aksi persahabatan sepanjang sesi latihan yang berlangsung pada 22 Mac sehingga 30 Mac ini di Pusat Latihan JDT Padang Seri Gelam, Johor.
"Bermula hari ini kami sudah meningkatkan intensiti latihan berbanding beberapa hari awal pemain berada di sini. Ia bertujuan untuk menyediakan pemain tentang tahap yang perlu mereka harungi apabila perlawanan kelayakan itu bersambung semula.
"Namun, dalam masa sama kita push pemain, saya juga tetap berhati-hati kerana tidak mahu pemain mengalami kecederaan yang akan memberikan masalah besar kepada kita dalam membuat persiapan nanti.
"Setakat ini, saya memang berpuas hati dengan komitmen serta kesungguhan yang ditunjukkan pemain selepas 16 bulan mereka tidak bersama. Bagaimanapun, kami perlu membina momentum daripada sekarang untuk menghadapi perlawanan kelayakan nanti," katanya.