KEBANYAKAN penyokong bola sepak tanah air menganggap kenaikan harga tiket perlawanan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini tidak dapat dielakkan ekoran peningkatan kos operasi yang perlu ditanggung setiap kelab gara-gara krisis Covid-19.
Namun, beberapa pihak tampil menyuarakan pandangan agar kenaikan harga tiket itu tidak terlalu melampau sehingga menyukarkan mereka untuk kembali bertandang ke stadium menyokong kelab masing-masing.
Presiden Kelab Penyokong Anak Selangor (ASFC), Mohd Faizal Wahid berkata, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) selaku badan pentadbir Liga-M perlu memastikan setiap kelab tidak menaikkan harga tiket terlalu tinggi.
"Sebagai penyokong Selangor FC, saya berharap pihak kelab dapat menggunakan konsep menang-menang dalam isu harga tiket ini kerana penyokong setia sudah pasti sanggup berkorban menerima kenaikan dengan syarat kenaikan itu berbaloi."Bagi saya, jika harga tiket dinaikkan sehingga RM5, ia sesuatu munasabah yang masih boleh diterima dalam kalangan penyokong. Ini ditambah pula dengan situasi ekonomi penyokong setia yang kebanyakannya terjejas akibat Covid-19.
"Jika harga tiket dinaikkan lebih daripada RM5, dibimbangi nanti ia akan membebankan penyokong setia yang sudah lama ingin kembali menyemarakkan arena bola sepak tempatan yang suram musim lalu,” katanya ketika dihubungi Sukan Sinar pada Khamis.
Presiden Peminat Bola Sepak Kedah (PBK), Fazli Mansor pula menyifatkan kenaikan harga tiket dalam lingkungan sehingga RM5 masih boleh diterima biarpun ada kemungkinan ia tidak dipersetujui penyokong lain.
"Saya percaya penyokong setia Hijau Kuning yang sayangkan kelab, mereka dapat menerima kenaikan harga tiket itu sebagai salah satu usaha membantu mengurangkan beban operasi kelab.
"Bagaimanapun, kenaikan itu jangan sampai melampau sangat. Kita kena sedar tak semua penyokong mampu walapun mereka cukup teruja untuk kembali ke stadium memberi sokongan kepada kelab.
"Jadi kenaikan harga tiket dalam lingkungan RM5 masih boleh diterima dalam situasi Covid-19 sekarang yang mana kenaikan itu sebenarnya juga secara tidak langsung membantu kelab,” ujarnya.