Penyeludupan dadah di kawasan Segi Tiga Emas

Iklan
Kawalan ketat di sempadan antara Thailand dengan Myanmar gagal untuk membanteras masalah penyeludupan dadah ke negara itu. - Foto AFP

THAILAND kini bakal berdepan dengan peningkatan masalah penyeludupan dadah selepas rampasan kuasa tentera berlaku di negara jirannya, Myanmar bagi menggulingkan pemerintahan awam pada 1 Februari lalu.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga pernah memberi amaran bahawa peningkatan penyeludupan dadah melepasi sempadan ke negara Thailand juga akan terjadi selepas negara jirannya itu ditadbir oleh tentera.

Iklan
Iklan

Seorang pegawai penyelaras PBB di Thailand, Jeremy Douglas berkata, kumpulan-kumpulan jenayah dadah dan militia-militia di sepanjang sempadan dipercayai bekerjasama untuk memperkukuhkan kedudukan ketika Myanmar ditadbir oleh tentera.

"Cara yang terbaik untuk menghasilkan wang dalam jumlah yang besar dengan segera adalah menerusi perdagangan dadah," katanya kepada AFP.

Iklan

Pengeluaran dadah sintetik merupakan sumber pendapatan nombor satu untuk beberapa kumpulan pemberontak dan militia di wilayah-wilayah Myanmar yang terletak hampir dengan sempadan Thailand dan Laos.

Dadah sintetik itu yang mengeluarkan pil-pil methamphetamine di makmal-makmal kendalian beberapa kumpulan pemberontak di wilayah-wilayah sempadan Myanmar.

Iklan

Makmal-makmal pengeluaran dadah sintetik dikatakan beroperasi di negeri Kachin, utara Myanmar dan Shan di timur negara itu oleh kumpulan-kumpulan penjenayah.

Wilayah-wilayah sempadan ketiga-tiga buah negara itu sebelum ini dikenali dengan nama Segi Tiga Emas kerana menjadi pusat perdagangan dadah yang lumayan di Asia Tenggara sejak berdekad-dekad lamanya.

Ekoran perdagangan dadah itu, harga pil methamphetamine di jalanan di Bangkok adalah sebanyak 50 bath (RM6.67) satu pil.

Pil methamphetamine itu dikenali sebagai yaba atau 'dadah gila' di Thailand dan versi kristalnya yang lebih kuat dikenali sebagai 'ice'.

Pada tahun 2019, polis Thailand dilaporkan berjaya merampas hampir 400 juta pil yaba dan 17 tan metrik tan 'ice'.

Dadah itu juga menyebabkan ketua-ketua penyeludupnya menjadi kaya dan polis Thailand menyatakan hasil keuntungan daripada jualan dadah itu dilaburkan dalam sektor hartanah, pembinaan, kasino dan wang kripto.

Gambar fail menunjukkan pasukan polis Thailand mempamerkan rampasan dadah 'ice' sebanyak 1.42 metrik tan di Narathiwat, pada tahun lalu. - AFP

Myanmar masih menjadi pembekal candu dan heroin di timur dan tenggara Asia termasuk Australia.

Pada Januari 2019, China, Myanmar, Laos dan Thailand mengumumkan akan bekerjasama dalam memerangi isu penyeludupan dadah berikutan kejayaan polis Thailand berjaya memintas penyeludupan berjuta-juta juta pil methamphetamine di utara negara itu.

Sebanyak 25 tan dadah haram yang berjaya dirampas oleh Thailand dan Myanmar bernilai lebih AS$2 bilion (RM8.29 bilion) dibakar pada Hari Antarabangsa Memerangi Dadah di Yangon pada Jun tahun lalu.

Rondaan yang dilakukan oleh pihak berkuasa di sepanjang sempadan antara Myanmar dengan Thailand masih gagal untuk menghalang perbuatan menyeludup dadah.

Pihak berkuasa negara Gajah Perang itu menganggarkan sekitar tiga suku dadah haram diseludup ke Thailand menerusi sebuah lagi negara jiran iaitu Laos.

Baru-baru ini, sejumlah pil itu yang bernilai kira-kira 20 juta baht (RM2,666,173) yang diseludup dalam uncang teh dirampas di tebing Sungai Mekong di timur laut Thailand yang merupakan laluan untuk para penyeludup dadah.

Penyeludupan yang menggunakan sebuah bot panjang itu berjaya dibanteras berdasarkan maklumat yang diperoleh polis bahawa satu penghantaran dadah akan tiba ke negara tersebut dari Laos.

Bagaimanapun, kegagalan bagi membanteras penyeludupan dadah itu adalah disebabkan oleh kekurangan kakitangan dan peralatan seperti teropong pada waktu malam, motosikal dan alat pengesan.

Unit rondaan sungai di wilayah Thailand yang mengawal sempadan negara itu juga dikerah untuk meningkatkan kawalan di kawasan daratan.

Ia disebabkan oleh masalah kemarau dan empangan yang menyebabkan paras air di Sungai Mekong menjadi surut.

Justeru, menurut AFP. sejak beberapa bulan lalu, pihak berkuasa Thailand menggunakan anggota-anggota sukarelawan di kampung-kampung untuk memantau aktiviti penyeludupan dadah di kawasan sempadan dengan Myanmar. - Agensi