PETALING JAYA – Penduduk di Damansara Damai mahu kemudahan balai polis diwujudkan semula bagi memudahkan urusan mereka setiap hari.
Rata-rata penduduk yang ditemui sepakat mahu pihak berwajib mengkaji semula kemudahan balai polis yang ditiadakan di perumahan itu sejak lebih dua tahun lalu.
Penduduk Apartmen Bayu, Robin Rostam berkata, penamatan kontrak sewaan sebuah rumah kedai yang dijadikan balai polis adalah tidak wajar.
"Sukar untuk kami berurusan kerana balai polis tiada, sepatutnya kawasan ini mempunyai balai polis sesuai dengan kepadatan penduduk di sini yang amat tinggi,” katanya.
Bagi penduduk Apartmen Idaman, Zamri Saidin, jika berlaku kes-kes tertentu penduduk sukar untuk membuat laporan kerana jarak balai polis sedia ada iaitu di Bandar Sri Damansara agak jauh.
"Ada 21 kawasan perumahan di Damansara Damai dengan penduduk lebih 200,000 orang. Pastinya kemudahan balai polis amat penting,” katanya.
Bagi Pengerusi Persatuan Penduduk Apartmen Suria, Rozainie Harun, penduduk di situ mewujudkan rondaan sukarela pada waktu malam.
"Kami sedia maklum ketiadaan balai dan pihak kami sentiasa berhubung dengan anggota polis termasuk Ketua Balai Polis Bandar Sri Damansara, Inspektor Hasbuhullah Muda berkaitan isu keselamatan setempat,” katanya.
Berhubung isu ketiadaan balai di situ, Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed mengakui keperluan balai polis amat penting, namun dalam kes di perumahan itu ada pro dan kontranya.
"Meskipun tiada balai, anggota dapat melakukan rondaan kerap dan tenaga yang diperlukan untuk menjaga balai di situ boleh digunakan sepenuhnya untuk melakukan rondaan setiap hari.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong berkata, kerajaan negeri mempunyai tapak sesuai untuk membina balai polis.
"Kita sedia bekerjasama dengan kerajaan Pusat untuk merealisasikan pembinaan balai polis di Damansara Damai,” katanya.