Kes liwat Anwar: Segera tubuh RCI

Iklan
Fauzi (kiri) ada sidang medianya di sini, hari ini.

KUANTAN - Kerajaan didesak agar menyegerakan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan wujud campur tangan dalam institusi kehakiman berhubung kes perbicaraan Liwat II Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti yang didedahkan Hakim Mahkamah Rayuan, Hamid Sultan Abu Backer melalui sebuah portal, semalam.

Bekas Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Pahang, Datuk Seri Fauzi Abdul Rahman berkata, dakwaan itu amat serius kerana ia melibatkan asas sistem keadilan di negara ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, jika benar berlaku campur tangan hakim tertinggi dalam memberi arahan terhadap tindakan yang perlu dilakukan dalam kes itu seperti yang didakwa, ia amat mendukacitakan dan langsung tidak boleh diterima.

"Kalau ia benar, seolah-olahnya peringkat hakim pun boleh diperkotak-katik pihak tertentu, jadi perkara ini perlu diberi perhatian serius dan kita desak perlunya RCI ditubuhkan segera bagi menyiasat perkara ini.

Iklan

"Sebagai rakyat, saya rasa amat sedih, kecewa dan takut kerana dakwaan ini berkait dengan tunggak kepada sistem keadilan negara, kalau sistem kehakiman boleh diperkotak-katik, apa jaminan keadilan rakyat biasa,” katanya pada sidang medianya di sini, hari ini.

Fauzi meminta Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah melihat perkara itu demi keadilan untuk rakyat secara keseluruhannya.

Iklan

"Perkara ini juga perlu diperjuangkan pemimpin parti semua peringkat supaya sistem kehakiman di negara ini terus terpelihara dan bebas campur tangan mana-mana pihak.

"Sekiranya tiga tonggak sistem Demokrasi Berparlimen, Perundangan, Kehakiman dan Eksekutif (Pentadbiran) rosak, negara akan hancur dan kalau rosak salah satu daripadanya pun, negara akan berdepan akibat sama,” katanya.

Beliau berkata, dalam hal ini, isunya bukan sahaja melibatkan keadilan untuk Anwar tetapi jaminan keadilan untuk rakyat secara keseluruhannya.

"Pendedahan ini perlu disiasat supaya rakyat dapat jawapan siapa yang terlibat,” katanya.