IPOH - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut kecewa dengan penangguhan pelaksanaan mengundi pada usia 18 tahun (Undi 18) sepertimana diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Khamis lalu.
Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, sebagai pendukung kerajaan, parti itu juga mahu melihat anak-anak muda berusia 18 tahun ke atas terlibat sama dalam memilih wakil dan kerajaan.
"Saya tidak pasti atas alasan apa ia tidak dapat diadakan, apa pun alasannya, kita kena teruskan juga dengan apa perkara yang telah dibuat kerajaan.
"Kami dalam kalangan pendukung kerajaan bersetuju dengan pelaksanaan itu, tetapi apabila ia tidak sempat lagi diadakan, kita kena redalah... Insya-ALLAH perjuangan ini tidak terhenti di sini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Derma Darah 'Perak Foodbank' di Dewan Dato Ahmad Said, Kampung Sungai Rokam di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, mana-mana pihak dan parti politik tidak sepatutnya menuding jari kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) atas penangguhan Undi 18 itu.
Menurutnya, parti pembangkang terutamanya sebelum ini bukanlah 100 peratus bersetuju dengan pelaksanaan perkara itu ketika disuarakan pimpinan kerajaan.
"Selama ini bukannya mereka memperjuangkan sangat, tetapi apabila tidak dapat diadakan atau belum sempat diadakan lagi, mereka pula nak salahkan orang lain.
"Jadi walau hujan ke ribut ke, kalau mereka nak salahkan kerajaan, akan salahkan kerajaan juga, samalah halnya dalam perkara ini," katanya.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Tambun yang juga bekas Menteri Besar Perak itu berkata, penangguhan Undi 18 tidak akan memberi kesan ketara kepada perubahan politik negara.
ARTIKEL BERKAITAN: Undi 18: Khairy turut kecewa keputusan SPR
Katanya, perkembangan politik pada ketika ini bukan diukur dari segi usia semata-mata sebaliknya faktor lain yang lebih mempengaruhi termasuklah bangsa.
"Bukan semua yang berusia 21 tahun ke atas cukup bijak untuk memilih, ramai juga dalam kalangan rakyat yang sudah cukup matang, tetapi masih buat keputusan salah buat diri mereka sendiri.
"Begitu juga keadaannya apabila lebih ramai mereka yang berusia 18 tahun ke atas yang matang dan faham apakah keperluan diri mereka untuk negara dalam memilih wakil bagi menubuhkan kerajaan.
"Jadi ada atau tidak ada rakyat usia 18 tahun mengundi untuk pilihan raya akan datang, situasi dan keadaannya tetap sama kerana politik bukan dilihat dari umur sangat atau gender, tetapi banyak lagi faktor lain termasuk bangsa," katanya.
Pada Khamis, Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh memaklumkan pendaftaran pemilih automatik dan mengundi pada usia 18 tahun (Undi 18) dijangka boleh dilaksanakan selepas 1 September 2022.
Abdul Ghani berkata, ia selepas pihaknya menilai semula pelbagai kekangan dan isu yang telah menjejaskan perancangan dan persiapan awal SPR.