KUALA LUMPUR - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Aysraf Wajdi Dusuki menempelak pihak yang mula menunjukkan watak sebenar mereka selepas mendapat kuasa.
Katanya, jika dahulu pihak berkenaan berjuang bermati-matian namun disebabkan mabuk harta, mereka sanggup merelakan jiwa dan raga dipertaruhkan.
"Tatkala kelihatan sinaran cahaya di hujung terowong, mulalah menjelma pelbagai kelibat dan watak warga parti yang menzahirkan warna sebenar diri.
"Ada yang dulunya bagai merpati dua sejoli, berpimpin tangan berpisah tiada, tetapi kini ibarat bunga, mekar dipakai layu dibuang. Sikap mereka ini, umpama biduknya satu, nakhodanya dua, lantaran sikap sayangkan kaki pada terompah,” katanya semasa menyampaikan ucapan Persidangan Perwakilan Pemuda di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini pada Sabtu.
Beliau turut menyindir bahawa pihak berkenaan sanggup menikam belakang dan rela membuka pekung di dada tanpa mengira haluan selain menjadi gunting dalam lipatan.
"Segala ujian yang kita lalui bersama, cukup untuk menguji tahap kesetiaan kita kepada idealisme dan prinsip perjuangan. Setia kepada perjuangan bukan hanya di saat kesenangan.
"Setia kepada perjuangan bukan hanya ketika berkedudukan. Setia kepada perjuangan bukan juga waktu diuji dengan serba kepayahan,” katanya.
Menurutnya, setia yang sejati ialah di saat kita harus membuat perhitungan besar antara mempertahankan parti biarpun menjadi lilin membakar diri atau merelakan diri diperlakukan seperti lembu dicucuk hidung oleh tuan yang mendedaknya.
"Mereka ini kadangkala terlupa atau buat-buat lupa bahawa tuan dedaknya itu, umpama serigala berbulu kambing, penuh muslihat, licik tingkah olahnya.
"Namun, jangan ingat UMNO ini seperti kambing kecil, merentak tidak memutus tali, berantuk tidak melambung bumi. UMNO masih punya maruah dan harga diri. Jangan cuba-cuba menjolok sarang tebuan kerana sengatannya masih berbisa,” katanya.
Justeru, Asyraf mendesak agar kepimpinan parti tidak lagi memberikan muka kepada golongan tersebut.
"Jangan sesekali diberi tempat di barisan hadapan untuk mewakili parti. Ahli UMNO wajar menolak watak-watak hipokrit seperti ini dalam pemilihan parti,” katanya.