Kerajaan PN jangan ulangi perangai PH: Pemuda UMNO

Iklan
Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki (depan, dua kiri) setelah selesai acara perasmian serentak Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada PAU 2020 pada Sabtu - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Pemuda UMNO meminta kerajaan Perikatan Nasional (PN) menyelesaikan pelbagai isu tertunggak yang ditinggalkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, antara isu tersebut ialah desakan rakyat agar menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan salah laku dan penyelewengan dalam Tabung Haji (TH), serta pembelaan buat anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Iklan
Iklan

"Bagaimana pula status siasatan dan pendakwaan kes-kes pimpinan PH yang digugurkan atau ditarik balik termasuk kes banglo dan terowong (bekas Menteri Kewangan) Lim Guan Eng, kes ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) DAP dalam aktiviti pengganas LTTE, kes rogol melibatkan bekas ADUN DAP di Perak dan lain-lain?

"Apakah kerajaan akan juga terus berdiam diri terhadap tuntutan penubuhan RCI menyiasat segala pendedahan bekas Peguam Negara, (Tan Sri) Tommy Thomas dalam bukunya 'My Story: Justice in the Wilderness' yang jelas menggambarkan wujud pendakwaan terpilih, campur tangan politik dalam badan pengadilan dan kehakiman, bahkan wujud penyalahgunaan kuasa dalam pelantikan Hakim,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada persidangan Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini pada Sabtu.

Iklan

Beliau berkata, kepincangan zaman PH tidak wajar didiamkan begitu sahaja kerana kelak kerajaan sekarang akan dikaitkan bersama.

Ahli perwakilan UMNO yang hadir pada acara perasmian serentak Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020pada Sabtu. - Foto Bernama

"Melainkan kita rela membenarkan tanggapan ramai betapa roh PH sudah mulai meresap masuk ke jasad perikatan. Usahlah berdalih lagi. Jangan menggunakan madah Penyatuan Ummah bagi mempertahankan kelemahan.

Iklan

"Jangan berselindung di sebalik slogan 'No Anwar No DAP' bagi menyembunyikan agenda peribadi mempertahan kedudukan. Janganlah diulangi perangai PH lalu yang hanya pandai menabur janji,” kata beliau.

Asyraf Wajdi turut mempersoalkan mengapa penganiayaan politik yang dimulakan oleh PH masih diteruskan oleh kerajaan kini.

"Di manakah keadilan apabila pemimpin UMNO yang kononnya terima peruntukan daripada sumber 1MDB didakwa. Sedangkan pengkhianat yang terima peruntukan serupa tidak pula didakwa, malah terus menjadi suci apabila melompat ke Parti Pribumi Bersatu (Bersatu). Bahkan boleh diangkat pula menjadi menteri?

"Ini jelas menggambarkan wujud pendakwaan terpilih, wujud campur tangan politik dalam badan pengadilan dan kehakiman, bahkan wujud penyalahgunaan kuasa dalam pelantikan Hakim?” katanya.