KLANG - Kerajaan Selangor menyalurkan peruntukan berjumlah RM300,000 bagi pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) baharu di 30 pangsapuri kos rendah yang layak di negeri ini.
Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Selangor, Rodziah Ismail berkata, CCTV terlibat dipasang selepas kerajaan negeri mengambil kira aspek keselamatan dan vandalisme yang dihadapi oleh penduduk di semua pangsapuri terlibat.
Beliau berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM10,000 bagi setiap pangsapuri berstrata rendah untuk menerima peruntukan berkenaan secara berperingkat.
"Kebiasaannya, pemasangan CCTV ini adalah sebanyak 12 hingga 16 unit di pintu-pintu masuk utama dan lif pangsapuri terlibat," katanya selepas merasmikan Program Pick & Pay Laman Hijau Strata Negeri Selangor di Pangsapuri Sri Ayu, Bandar Putera, pada Sabtu.
Hadir sama dalam majlis berkenaan adalah Exco Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Indsutri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.
Dalam pada itu, mengulas mengenai perasmian program berkenaan, Rodziah berkata, Pick & Pay menawarkan bekalan manakan segar seperti sayur-sayuran dan buah-buahan kepada penduduk di pangsapuri terpilih.
Beliau berkata, program itu juga turut menjadi pemangkin kepada peningkatan ekonomi penduduk di pangsapuri sekitar negeri ini yang kebanyakannya terdiri daripada golongan B40.
"Kerajaan Selangor akan terus memberi sokongan kepada kebun-kebun laman hijau dalam usaha mengawal peningkatan kadar kemiskinan penduduk di kediaman strata," katanya.