China, AS perlu utamakan kolaborasi: Kementerian Luar China

Iklan

BEIJING - Kementerian Luar (MFA) menegaskan bahawa misi China adalah mahu memajukan negara itu dan tampil lebih cemerlang, bukannya bertujuan untuk mendahului Amerika Syarikat (AS).

Jurucakap MFA, Hua Chunying dalam sidang akhbar pada Jumaat berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden AS, Joe Biden pada Khamis.

Iklan
Iklan

Biden ketika tampil buat kali pertama dalam sidang akhbar sejak memegang jawatan menegaskan, Washington tidak akan berkonfrontasi dengan Beijing, sebaliknya akan bersaing antara satu sama lain.

Biden dilaporkan berkata, Washington tidak akan membiarkan China mendahului AS sepanjang tempoh pentadbirannya.

Iklan

Sehubungan itu, Chunying menyifatkan persaingan antara dua negara adalah perkara biasa, tetapi apa yang penting ialah persaingan yang sihat bersandarkan kepada keadilan dan kesaksamaan.

Beliau berpendapat, apa yang perlu diutamakan China dan AS adalah untuk saling berkolaborasi.

Iklan

"Selain saling menghormati, kami mahu menjalin interaksi yang sihat dan kerjasama yang saling menguntungkan dengan negara-negara lain termasuk AS. Pada masa sama, kami akan terus maju menambah baik diri sendiri demi manfaat dunia,” kata Chunying.

Seperti mana kesepakatan penting yang dicapai pemimpin dua negara itu semasa perbincangan menerusi telefon awal tahun ini, Chunying berharap AS melangkah sehaluan dengan China dan mengendalikan hubungan dua hala berdasarkan prinsip tidak berkonfrontasi, saling menghormati dan menjalinkan kerjasama untuk manfaat bersama. - Bernama