KUALA LUMPUR - Keputusan Chile mengenakan perintah kuarantin kepada lebih 13 juta penduduknya bermula Khamis adalah susulan lonjakan mendadak kes baharu Covid-19.
Namun, segelintir rakyat Malaysia di Santiago yang dihubungi Bernama menyatakan keadaan kali ini tidaklah seburuk seperti yang disangka.
Ekspatriat, Nithiya Kala V. Balasubramaniam akui keluarganya di Malaysia amat risau sebaik mengetahui sekatan pergerakan akan dikenakan ke atas lebih separuh daripada 19 juta penduduk negara itu.
Menceritakan pengalamannya, guru bahasa Inggeris berusia 50 tahun menetap di Vitacura, Santiago itu berkata, keadaan semasa sekatan pergerakan pertama tahun lalu lebih buruk berbanding sekarang kerana lebih bersedia.
"Berikutan langkah terbaru kerajaan itu bermakna kelas di sekolah akan beroperasi dalam talian mulai Isnin.
"Sebelum ini perintah berkurung dikenakan dari 10 malam hingga 5 pagi, tetapi itu tidak mempengaruhi rutin saya kerana masih boleh berjalan-jalan dan mengikuti kelas tembikar," katanya sambil menambah prosedur operasi standard (SOP) tidak jauh berbeza dengan di Malaysia.
Nithiya Kala juga telah menerima dua dos vaksin Covid-19.
"Saya rasa hampir semua orang (guru) sudah mendapat sekurang-kurangnya dos pertama dan sebahagian lagi sudah disuntik kedua-dua dos,” katanya.
Ujarnya, semua rakyat Malaysia di Chile dijaga dengan baik dan Kedutaan Malaysia di Chile sentiasa memaklumkan sebarang perkembangan terkini dan menawarkan bantuan yang diperlukan.
Roszanah Mahat, yang tinggal di Providencia pula menggambarkan keadaan di tempatnya lebih tenang berbanding kawasan lain.
"Kawasan saya sebelah bukit kawasan tarikan pelancong, memang sunyi tiada orang. Kita rasa macam satu kehidupan yang lain. Anak-anak pun tanya kenapa tiada orang di luar dan saya terangkan pada mereka sekarang kita kena ikut SOP.
"Masa mula-mula sekatan pergerakan tahun lalu memang agak tertekan, tetapi lama-kelamaan alah bisa tegal biasa,” katanya.
Suri rumah berusia 47 tahun itu menyangka keadaan akan menjadi lebih baik apabila ketiga-tiga anaknya, berusia 10 hingga 14 tahun, kembali ke sekolah bulan ini sebaliknya ia tidak seperti yang disangka.
Suaminya, seorang warga Perancis bekerja sebagai jurutera lapangan terbang, sudah diberi vaksin sementara Roszanah masih menunggu giliran.
"Untuk umur saya belum mula lagi kecuali orang yang ada masalah kesihatan kronik. Pihak kerajaan tempatan akan hantar mesej mengenai tarikh dan masa untuk vaksin,” katanya.
Ditanya mengenai bekalan makanan, Roszanah berkata jika masa sekatan pergerakan pertama agak sukar kerana berlaku pembelian panik, sekarang berbeza apabila orang ramai sudah mula dapat menyesuaikan diri dengan keadaan kuarantin.
Sementara itu, Duta Malaysia ke Chile, Abu Bakar Mamat ketika dihubungi berkata, setakat ini tiada masalah utama dihadapi rakyat Malaysia yang berjumlah kira-kira 50 orang kecuali tiga pelancong yang terkandas di negara ini tahun lalu berikutan sekatan pergerakan.
Katanya, seorang daripada mereka sudah pulang ke tanah air sementara dua yang lain meneruskan pengembaraan dan pihak kedutaan sering menghubungi mereka dari semasa ke semasa.
Mengenai vaksinasi, Abu Bakar berkata sekurang-kurangnya enam juta orang atau sekitar sepertiga penduduk Chile, sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos.
"Dalam rekod kami kakitangan kedutaan ada seorang yang sudah dapat dos pertama dan yang lain masih menunggu kerana di sini selepas barisan hadapan, baru vaksin untuk masyarakat umum diberikan mengikut peringkat umur bermula 60 ke atas dan yang ada masalah kesihatan kronik,” katanya.
Menteri Kesihatan Chile Enrique Paris pada Isnin mengumumkan 21 bandar di wilayah Santiago, termasuk Maipu dan Puente Alto, yang paling ramai penduduk, akan dikenakan arahan kuarantin selain 21 daerah di wilayah lain.
Pada Khamis Chile mencatatkan 7,023 kes baharu Covid-19 dengan jumlah keseluruhan sebanyak 954,762.
Sebanyak 122 lagi kematian dilaporkan dengan keseluruhan korban seramai 22,524 sejak wabak bermula. - Bernama