Pemimpin PN perlu perkasa hubungan, stabilkan politik

Iklan
Mohd Redzuan

ALOR GAJAH- Semua pemimpin parti komponen Perikatan Nasional (PN) diseru memperkasa hubungan dan bekerjasama dengan ikhlas serta telus untuk menstabilkan politik negara agar dapat terus mentadbir urus Malaysia selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, konsistensi itu penting kerana rakyat sentiasa menjadi ‘mata’ dan ‘telinga’ perkembangan politik negara dan mereka mengharapkan yang terbaik untuk Malaysia dalam semua aspek khususnya pentadbiran serta ekonomi.

Iklan
Iklan

"Rakyat telah memberi mandat untuk kita mengurus tadbir negara dengan baik... jadi kena ada peningkatan. Kalau kita terus berpecah, bagaimana kita hendak mengurus dasar sedia ada.

"Jadi saya harap semua pemimpin yang bertanggungjawab mentadbir urus negara perlu bersatu padu dalam mengawal keadaan bagi meningkatkan prestasi atau penampilan negara sebagai satu negara yang stabil dalam politik,” katanya kepada pemberita selepas Program Ceria Ke Sekolah Parlimen Alor Gajah di sini pada Sabtu.

Iklan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, Bersatu menerima dengan hati terbuka sekiranya UMNO tidak mahu meneruskan kerjasama dengan parti tersebut pada PRU15.

Mohd Redzuan, yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah, berkata Bersatu akan memperkukuh hubungan sedia ada dengan parti komponen lain dalam PN terutama PAS kerana gabungan itu penting untuk membentuk masa depan bagi mentadbir negara.

Iklan

Mengulas lanjut, beliau berkata, Bersatu akan terus mengutamakan pembangunan ekonomi Melayu dan ia sebahagian hala tuju pentadbiran parti itu sekiranya diberi mandat pada PRU15.

"Kepimpinan Melayu perlu dilestarikan kerana majoriti rakyat negara ini adalah Melayu, seterusnya pembangunan ekonomi Melayu perlu dibangkitkan semula pada masa hadapan,” katanya. - Bernama