Lagi MP, senator sertai Bersatu?

Iklan
Mahathir (tengah) menerima borang keahlian Noor Azmi bagi menyertai PPBM ketika sidang media selepas mempengerusikan Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu di Menara Yayasan Selangor malam ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bagan Serai Datuk Dr Noor Azmi Ghazali bersama empat senator hari ini menyertai Bersatu.

Noor Azmi bersama Presiden Majlis Senator Malaysia, Datuk Seri Khairudin E.S Abd Samad; Bendahari Majlis Senator Malaysia, Datuk Suhaimi Abdullah; wakil Orang Asli Majlis Senator Malaysia Isa Abdul Hamid: dan wakil orang Siam Aknan Ehtook menyerahkan borang keanggotaan kepada Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mereka kemudian menerima kad keanggotaan daripada Pengerusi parti, Tun Dr Mahathir Mohamad

Dr Mahathir berkata, Bersatu sedia menerima penyertaan mereka memandangkan Pakatan Harapan (PH) tidak mendapat dua pertiga undi majoriti.

"Kita sedia terima mereka, kerana kita tidak dapat dua pertiga undi majoriti dengan itu kadang-kadang berlaku keadaan kita tersekat tidak boleh tumpu kepada apa yang kita janjikan.

"Ada beberapa perkara yang kita telah janjikan yang perlukan dua pertiga undi,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, di Menara Yayasan Selangor, di sini hari ini.

Beliau menambah anggota baharu tersebut tidak boleh memegang apa-apa jawatan dalam tempoh setahun menyertai parti.

Dalam pada itu, Dr Mahathir juga berkata parti itu akan melaksanakan pindaan-pindaan tertentu bagi menambah baik sistem kemasukan anggota baharu.

Dalam perkembangan lain, ketika ditanya mengenai dakwaan usaha menjatuhkan Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Dr Mahathir sekadar berkata,"Setakat yang kami tahu Faizal (Ahmad Faizal) masih MB”.

Semalam, Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming mengesahkan wujud konspirasi untuk menjatuhkan kepimpinan Ahmad Faizal, berdasarkan pendedahan ahli Exco Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri Asmuni Awi.

Asmuni mendakwa terdapat pemimpin Umno Perak menawarkan beliau jawatan Menteri Besar selain dipelawa meninggalkan PH bagi membentuk kerajaan baharu. - Bernama