SHAH ALAM - Tiga sekeluarga pengsan akibat mengalami sesak nafas apabila rumah teres tiga tingkat dihuni mereka terbakar dalam kejadian di Taman Seri Muda di sini pada Ahad.
Tiga mangsa itu ialah, seorang wanita, J Thanaletchumy, 35, anaknya, N Ruthrewaran, berusia enam tahun dan bapa mentua kepada Thanaletchumy, N Krishnarajah, 74.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan itu pada jam 4.38 pagi.
"Seramai 18 anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam kemudian dikejarkan ke tempat kejadian," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Ahad.
Norazam berkata, semasa pasukannya tiba, didapati suami mangsa berjaya keluar menyelamatkan diri.
"Pasukan kami kemudian sempat menggerakkan usaha mencari dan menyelamat tiga lagi mangsa yang berada di dalam rumah terbabit," katanya.
Beliau berkata, operasi mencari kira-kira 10 minit itu berjaya menemui menantu dan mentua di bahagian bilik bawah, manakala seorang kanak-kanak di bahagian utama bilik atas.
"Ketiga-tiga mangsa berjaya diselamatkan dan mengalami sesak nafas sebelum ketiga-tiga mereka diserahkan kepada pihak Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk rawatan lanjut," katanya.
Beliau berkata, laporan awal mendapati kebakaran membabitkan bangunan kelas A sebuah rumah teres tiga tingkat yang terbakar 70 peratus pada bahagian tingkat bawah.
"Kebakaran berjaya dikawal daripada merebak dan dapat dipadamkan sepenuhnya pada jam" 6.29 pagi," katanya.