PKS mikro bernafas semula

Iklan
Ummu Syafrawa memeriksa stok produk baharu yang ditempahnya untuk jualan.

SHAH ALAM - Pembiayaan mikro kredit yang disediakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) memberi manfaat besar kepada usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro kerana dapat melancarkan aliran tunai perniagaan mereka.

Pakar ekonomi daripada Universiti Sultan Zainal Abidin, Profesor Madya Dr Ahmad Azrin Adnan berkata, aliran tunai ialah masalah utama yang biasanya dialami PKS mikro selepas negara berdepan pandemik Covid-19.

Iklan
Iklan

"Sehingga hujung tahun lalu, dilaporkan sebanyak 30 peratus PKS mikro masih tidak boleh beroperasi.

"Sedangkan PKS mikro perlukan wang untuk membayar hutang bank, sewa premis dan gaji pekerja,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Iklan

Ahmad Azri berkata, pembiayaan mikro kredit itu sangat membantu meringankan beban kewangan usahawan PKS mikro terutama bagi mereka yang terjejas teruk.

Menurutnya, kerajaan PN sebenarnya telah lama menyediakan pembiayaan mikro kredit sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac tahun lalu lagi.

Iklan

Katanya, kemudahan pembiayaan itu ditambah baik melalui pelaksanaan pelbagai pakej rangsangan ekonomi bagi mengatasi kesan kelembapan ekonomi akibat penularan pandemik.

"Inisiatif itu dilakukan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) PKS (Tambahan) yang memperuntukkan RM10 bilion pada April tahun lalu.

"Ia diikuti Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang menyediakan peruntukan sebanyak RM2 bilion dan mengutamakan PKS yang belum pernah mendapat pinjaman daripada bank,” katanya.

Katanya, bantuan sama terus disalurkan menerusi Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) dengan tambahan dana pembiayaan mikro kredit sebanyak RM500 juta.Pembiayaan mikro kredit itu ditawarkan di bawah pelbagai agensi seperti Bank Simpanan Nasional (BSN), Tekun Nasional, Majlis Amanah Rakyat (Mara), SME Corp Malaysia, YaPEIM dan AgroBank.

Qairy dan isterinya, Aily Aainaa Aisha Mohd Ali, 35, di hadapan pejabat syarikatnya di Batu Pahat, Johor.

Katanya, apa yang istimewa permohonan untuk pembiayaan itu dipermudahkan selain kadar faedah pinjaman yang dikenakan juga rendah iaitu serendah tiga peratus.

Pemilik syarikat penyedia platform jualan dalam talian kepada selebriti, Qairy Mahiran, 45, berkata, pembiayaan mikro kredit sebanyak RM100,000 sangat membantu bisnesnya.

"Mikro kredit ini saya guna sebagai modal perniagaan secara dalam talian. Saya sediakan platform kepada selebriti untuk pasarkan produk mereka secara dalam talian.

"Antara selebriti tersebut termasuk nama-nama besar seperti Neelofa, Aeril Zafrel, Wawa Zainal, Ayda Jebat dan Azad Jasmin,” katanya.

Kata Qairy, dengan modal pusingan tersebut, lebih ramai usahawan dapat dibantu seterusnya menjana pendapatan berganda kepada syarikatnya, Empayar AilyQairy.

Pengusaha syarikat pengedar kosmetik, Ummu Syafrawa Hasnan, 27, mengakui bantuan mikro kredit yang diterima membantunya menjana keuntungan yang lebih tinggi.

"Saya sudah dua kali menerima pembiayaan mikro kredit iaitu sebanyak RM5,000 dan RM15,000. Dengan duit itu, saya guna untuk restock produk dalam jumlah yang banyak. Bila beli banyak, harga barang lebih murah dan saya dapat untung lebih tinggi,” jelasnya.

Dengan bantuan itu juga katanya, keuntungan yang dijana sejak PKP adalah lebih tinggi berbanding sebelumnya.