KUALA LUMPUR - Seramai 566,200 individu telah menerima suntikan vaksin Covid-19 dalam negara setakat Sabtu menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.
Dr Adham dalam satu infografik yang dikongsikan di laman Twitter rasminya pada Ahad berkata, daripada jumlah itu, 448,187 individu menerima suntikan dos pertama manakala 118,013 pula telah menerima suntikan vaksin dos kedua.
Selangor mencatatkan jumlah tertinggi individu yang telah menerima dos pertama vaksin iaitu 63,675.
Negeri lain yang telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 ini iaitu Perak (49,545), Sabah (42,018), Kuala Lumpur (39,633), Sarawak (36,972), Johor (34,000), Pahang (33,463), Pulau Pinang (31,802), Kedah (26,316), Negeri Sembilan (22,212), Terengganu (20,503), Kelantan (19,812), Melaka (11,672), Perlis (9,533), Putrajaya (4,695) dan Labuan (2,347).
Bagi dos kedua pula, Sarawak merekodkan jumlah tertinggi iaitu 15,135, Pahang (12,283), Kelantan (11,411), Selangor (11,370), Kuala Lumpur (10,890), Perak (9,760), Johor (8,935), Sabah (8,352), Kedah (5,238), Pulau Pinang (4,866), Terengganu (4,649), Negeri Sembilan (4,643), Melaka (4,103), Putrajaya (2,234), Perlis (2,157) dan Labuan (1,987).
Sementara itu, jumlah pendaftaran untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan pula adalah sebanyak 7,161,178, setakat semalam dengan Selangor merekodkan jumlah pendaftaran tertinggi iaitu 1,979,666 atau 40.8 peratus.
Mengikut perancangan program imunisasi berkenaan, tempoh pelaksanaan fasa pertama pemberian vaksin yang bermula Februari hingga April ini akan melibatkan 500,000 anggota barisan hadapan termasuk petugas kesihatan.
Program akan diteruskan bagi fasa kedua yang dijangka bermula April hingga Ogos tahun ini melibatkan 9.4 juta warga emas berusia 60 tahun ke atas serta kumpulan rentan dengan masalah morbiditi, selain orang kurang upaya.
Sementara fasa ketiga yang dijadualkan bermula Mei hingga Februari 2022 adalah untuk kumpulan individu berusia 18 tahun dan ke atas dengan sasaran kira-kira 14 juta orang. - Bernama